BEREGU lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kandas di separuh akhir Terbuka India buat tahun ketiga berturut-turut sekali gus gagal menyamai pencapaian mara ke final edisi 2023.
Nadi beregu nombor dua dunia itu terhenti selepas dikejutkan pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Kyohei Yamashita pada aksi di Kompleks Sukan Indira Gandhi, hari ini.
Aaron-Wooi Yik tampak bergelut mencari rentak pada set pertama sebelum mudah ditundukkan 10-21 dalam tempoh hanya sembilan minit.
Bagaimanapun, mereka bangkit pada set kedua dengan corak permainan lebih tersusun dan agresif untuk menguasai set berkenaan 21-13.
Kebangkitan itu mengheret perlawanan ke set penentuan yang berlangsung lebih sengit.
Midorikawa-Yamashita berjaya mencipta kelebihan 11-6 sebelum mengekalkan momentum untuk menang 21-11.
Kekalahan itu menyaksikan rekod pertemuan kedua-dua pasangan kini terikat 1-1.
Tiada lagi wakil Malaysia di India dan Aaron-Wooi Yik selepas ini dijadual meneruskan kempen di Masters Indonesia di Istora Senayan bermula Selasa.