HAKIM Danish Ramli akan berlepas ke Sepanyol lebih awal pada bulan ini sebagai langkah persiapan terbaik menjelang saingan Moto3 (Kejuaraan Motosikal Dunia-MotoGP) bersama pasukan MT Helmets-MSI.

Pelumba muda negara itu dijadual menetap lebih awal di Eropah bagi menyesuaikan diri dengan cuaca, persekitaran dan gaya hidup sebelum turun ke ujian rasmi pada 22 dan 23 Februari.

Zulfahmi Khairuddin menerima semua bentuk sokongan daripada pelbagai pihak yang sudi tampil membantu, bagi memastikan bakat sukan permotoran negara dapat dikembangkan ke peringkat antarabangsa.

Pengurus Pasukan ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin, berkata keputusan itu dibuat berdasarkan pengalaman peribadinya ketika berlumba di Eropah sebelum ini.

Menurutnya, Hakim Danish tidak akan terus menjalani ujian sebaik tiba, sebaliknya diberi ruang untuk adaptasi supaya fizikal dan mental berada pada tahap terbaik.

“Saya dulu terus pergi test dan badan terkejut dengan cuaca, jadi kali ini kami tak mahu ulang kesilapan sama,” kata Zulfahmi, pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penajaan selama setahun antara ZK Racing dengan jenama pakaian dan aksesori permotoran, OneDry di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS).

OneDry yang diwakili jurucakapnya See Jia Jie, berkata kerjasama itu diharap dapat membantu ZK Racing, khususnya Hakim Danish dan Qabil Irfan Azlan meneruskan kerjaya dalam sukan permotoran dua roda.

Dari kiri: Qabil Irfan; jurucakap OneDry, See Jia Jie; Pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin; dan Hakim Danish, pada majlis perjanjian penajaan di MAEPS.

Dalam saingan Moto3 musim ini, Hakim Danish menggalas tanggungjawab besar apabila menggantikan Angel Piqueras yang menamatkan kempen lalu di tempat kedua.

Zulfahmi menegaskan penempatan Hakim Danish dalam pasukan MT Helmets-MSI yang berstatus juara dunia membuktikan keyakinan tinggi terhadap potensinya.

“Persiapan awal di Sepanyol mampu membantu Hakim Danish tampil lebih matang dan kompetitif apabila musim Moto3 membuka tirai nanti.”

Sesi ujian pra musim 2026 dijangka berlangsung di Portimao, Portugal (22 & 23 Februari) sebelum kalendar perlumbaan Moto3 bermula di Buriram, Thailand pada hujung Februari (27 Februari-1 Mac).