Kredit Gambar: MSN Malaysia

JAGUH berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang mengakhiri penampilan terakhirnya di Sukan Komanwel dengan menduduki tempat ke-10 acara ujian masa 1 kilometer (km) lelaki di Velodrom Sir Chris Hoy, hari ini.

Pemenang pingat emas keirin itu mencatat masa 1 minit 1.357 saat (s) dalam acara yang bukan kepakarannya, sekali gus menutup kempen di Glasgow dengan satu pingat emas dan satu lagi aksi penuh bermaruah.

Meskipun gagal mencabar kedudukan podium dalam ujian masa, Azizulhasni meninggalkan Glasgow dengan penuh kepuasan selepas menamatkan penantian 16 tahun untuk meraih pingat emas pertama Sukan Komanwel menerusi acara keirin, Jumaat lalu.

Penampilan di Glasgow sekali gus menjadi penutup sempurna buat karier Azizulhasni di pentas Komanwel apabila akhirnya berjaya berdiri di podium tertinggi selepas lebih sedekad mengejar impian tersebut.

Pingat emas dimenangi pelumba Australia, Leigh Hoffman yang turut mencipta rekod baharu temasya dengan catatan 58.530s, manakala Joseph Truman dari England meraih perak (59.525s) dan seorang lagi wakil Australia, TayteRyan membawa pulang gangsa (59.684s).