SIMON Jordan meluahkan keraguan terhadap kemampuan pengurus Manchester United  Erik Ten Hag untuk membawa kelabnya ke persada Liga Perdana Inggeris.

Pelbagai kritikan turut dilontarkan kepada pengurus kelab itu selepas tewas 3-1 kepada Arsenal.

Ten Hag yang pernah mengungguli pasukan United pada awal pengurusannya telah berjaya meletakkan skuad di tempat ketiga dalam Liga Perdana dan memenangi Piala Carabao.

Bagi musim ini pula, United berjaya menundukkan Wolves dan Nottingham Forest di Old Trafford, tetapi kekalahan dengan Tottenham dan Arsenal merupakan satu perkara yang memudarkan corak pengurusan Ten Hag.

Kemuncak Liga Perdana kali ini akan menyaksikan United bersaing dengan Pep Guardiola dari Manchester City.

Oleh itu, Jordan dalam program ‘talkSports’ turut memberitahu bahawa Ten Hag bukan pengurus terbaik buat United untuk merangkul gelaran juara Liga Perdana nanti sekaligus menyarankan supaya kelab itu mengambil seseorang seperti Jurgen Klopp dari Liverpool.

“Bagi saya, apa yang United perlukan sekarang ini adalah seorang pengurus yang mampu merangkul tanggungjawab besar, mengurus kelab sebesar ini dan terus memburu kejayaan.

“The Red Devils masih belum menguasai Liga Perdana sejak tahun 2013 semasa di bawah kendalian Sir Alex Ferguson dan hingga kini dibawah Ten Hag, mungkin dia bukan individu yang selayaknya untuk menguruskan mereka lagi”, ujar Jordan.

Jordan menambah, “Mungkin Ten Hag akan membuktikan saya salah jika diberi masa yang mencukupi untuk mencapai kejayaan terbesar”.