BAHANG kehangatan malam kemuncak Anugerah Ikon Sukan (AIS) Harian Metro semakin dirasai dengan pengumuman finalis lapan kategori utama yang akan bersaing merebut Anugerah Ikon Sukan Terbaik.

Pemain JDT, Arif Aiman Hanapi dan bintang badminton negara, Lee Zii Jia masing-masing disenaraikan dalam dua kategori yang telah diundi menerusi proses undian peringkat pertama yang dijalankan dari 30 Oktober hingga 20 November 2022.

Pengarang Kumpulan Harian Metro, Husain Jahit menjelaskan acara AIS ini adalah acara anugerah yang julung kali diadakan untuk memberikan pengiktirafan kepada atlet dan atlet para serta penggiat industri sukan termasuk kelab dan persatuan atas kecemerlangan mereka mengharumkan nama negara.

Azeem Fahmi tercalon dalam kategori Ikon Sukan Lelaki

“Kami bersyukur kerana dapat menganjurkan satu-satunya acara anugerah sukan yang memberi ruang dan pilihan kepada peminat dan pengikut sukan untuk memilih ikon sukan kegemaran mereka.

“Kami juga berharap penganjuran AIS ini dapat meninggalkan impak dan memori manis pada semua atlet serta mereka yang terlibat dan berharap ianya dapat diteruskan lagi pada masa yang akan datang dengan lebih banyak sokongan daripada pihak korporat,” katanya pada majlis pengumuman itu.

Turut hadir pada majlis ini adalah Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Norza Zakaria dan Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Kenny Goh serta beberapa atlet finalis yang turut memeriahkan majlis.

Lapan kategori yang dipertandingkan adalah Ikon Sukan Lelaki, Ikon Sukan Wanita, Ikon Sukan Paralimpik dan Ikon Sukan Jurulatih. Turut dipertandingkan adalah Ikon Sukan Persatuan/Kelab, Ikon Sukan Kepimpinan, Ikon Sukan Harapan dan Ikon Sukan Pempengaruh.

Kereta elektrik jenama Appollen A1 yang menanti pemenang utama

Pemenang bagi setiap kategori bakal memenangi sebuah trofi, wang tunai RM5,000 manakala pemenang Anugerah Ikon Sukan Terbaik bakal membawa pulang sebuah kereta elektrik jenama Appollen A1 bernilai RM136,000.

Malam kemuncak Anugerah Ikon Sukan Harian Metro ini bakal berlangsung pada 8 Januari 2023 dengan Fahrin Ahmad dan Che Puan Sarimah Ibrahim diumumkan sebagai hos utama.