KEJAYAAN pasukan dari Wilayah Utara Sarawak, Miri FA yang memenangi Liga Bolasepak B-20 SSC-FAS Tahun 2022 seakan-akan memberi nafas baharu untuk bola sepak Sarawak yang kian suram untuk kembali bangkit selepas ini.
Namun, timbul persoalannya kemanakah hala tuju pemain-pemain muda berbakat yang telah di pantau dari Kejohanan tersebut terutamanya pemain pasukan Miri itu bagi musim akan datang dan apakah perancangan dalam masa terdekat buat mereka.
Jurulatihnya, Mohd Hakimi Man berkata, kemelut yang melanda bolasepak Sarawak begitu menjadi perhatian peminat di sini kerana ianya memberikan impak yang besar untuk pembangunan bola sepak di Sarawak terutamanya pemain muda berbakat di Sarawak.
Begitu pun, sebenarnya masih ramai yang sayangkan bola sepak Sarawak. Keprihatinan semua pihak yang berkepentingan dalam pembangunan bola sepak di Sarawak amat dituntut agar agenda pembangunan terus diperhebatkan walaupun tiada pasukan utama Sarawak United FC (SUFC) beraksi di Liga Super 2023 kecuali kelab Kuching City FC yang mewakili negeri itu.
“Alhamdulillah syukur pada Tuhan, kami rasa begitu lega…rupanya masih ramai lagi yang sayangkan bolasepak Sarawak. Terima kasih Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Abang Haji Openg yang begitu prihatin dengan mengarahkan Menteri Belia, Sukan & Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menyelesaikan isu-isu berkaitan.
“Antara intipati yang beliau arahkan untuk diberi perhatian segera adalah, segera menyiasat kemelut bola sepak Sarawak terutama dalam aspek pengurusan kerana bola sepak begitu istimewa di Sarawak kerana mempunyai pengikut dan ramai peminat di Sarawak.
ARTIKEL BERKAITAN : Tewaskan Serian menerusi sepakan penalti, Miri muncul juara Liga Bolasepak SSC-FAS B-20 2022
“Penekanan kepada pembangunan bola sepak di Sarawak perlu diberi perhatian khusus tambah Premier Sarawak,” ujarnya yang pernah membimbing Miri bermain di saingan Liga Bola Sepak Rakyat (LBR).
Jelasnya lagi, perkara yang paling penting dan cabaran yang paling besar untuk pihak yang berkepentingan seperti Majlis Sukan Negeri Sarawak, Perbadanan Sukan Sarawak dan Persatuan Bolasepak Sarawak adalah meletakkan individu yang tepat di satu-satu posisi berdasarkan merit dan menyatukan semua pihak yang terlibat dengan bola sepak di Sarawak tanpa sangkaan serta prejudis.
Katanya lagi, mandat kuasa yang ada pada pihak berkepentingan dalam membuat dasar dan struktur perlu digunakan dengan bijaksana.
“Percayalah pada telahan saya, hasil pemantauan dari Kejohanan B-20 SSC-FAS bermula pada pusingan kelayakan hingga ke Grand Finale yang baru saja tamat minggu lepas, kita ada sekelompok pemain muda yang berbakat, berkualiti tinggi dan juga jurulatih yang berwibawa penuh karisma untuk mengangkat kembali martabat bolasepak Sarawak jika anda memantau dengan mata hati.
“Perlu diingatkan kepada pihak yang berkepentingan, kesilapan anda dalam merangka struktur, penyediaan program jangka pendek dan jangka panjang, dan kegagalan menentukan dasar dengan baik pasti akan mengakibatkan bolasepak Sarawak terus tertinggal,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN : Kejohanan Liga Bolasepak SSC-FAS B-20 2022 : Miri FA tempah tiket ke final