ATLET angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan menghadiahkan pingat sulung buat dirinya di pentas Kejohanan Angkat Berat Asia selepas meraih tiga pingat perak dalam kategori 60 kilogram (kg) di Gandhinagar, India, pada Isnin.

Atlet berusia 24 tahun itu mencatat persembahan terbaik karier apabila melakukan jumlah angkatan keseluruhan 277kg untuk menamatkan saingan di kedudukan kedua keseluruhan.

Aniq terlebih dahulu meraih perak dalam acara snatch selepas berjaya mengangkat 122kg sebelum menambah satu lagi perak menerusi clean and jerk dengan angkatan 155kg.

Pingat emas dimenangi atlet Korea Utara, Cholpang Un dengan jumlah angkatan 304kg manakala wakil Vietnam, Thanhlai Gia membawa pulang gangsa selepas mencatat 267kg.

Kejayaan itu menjadi pencapaian terbesar Aniq di pentas Asia selepas sebelum ini menamatkan saingan di tempat keempat pada edisi 2022 di Bahrain dan keenam di Korea Selatan setahun kemudian.

Prestasi di India turut menyaksikan Aniq memperbaharui rekod terbaik peribadi selepas mengatasi jumlah angkatan 266kg di Kejohanan Dunia 2025 di Norway, sekali gus mengukuhkan reputasinya sebagai antara prospek terbaik negara dalam sukan angkat berat.