HARI Sukan Negara (HSN) 2025 yang bakal berlangsung di Ipoh dijangka mencetuskan sambutan luar biasa dengan penyertaan lebih 300,000 warga Perak dan 5.2 juta peserta di seluruh negara.
Acara kemuncak bertemakan Malaysia Aktif itu akan berlangsung pada 11 Oktober di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh dan bakal disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.
Sebagai Rakan Strategik Logistik Rasmi, Pos Malaysia Berhad tampil dengan penuh semangat menyokong penganjuran HSN 2025 menerusi pelbagai inisiatif dan sumbangan kepada acara nasional terbesar berteraskan kesihatan dan perpaduan rakyat itu.
Antara tarikan utama tahun ini termasuk empat acara mega iaitu Kayuhan MADANI (35km), Larian Ria MADANI (5km), Berjalan Ria MADANI (3.5km) serta program 1,500 langkah sempena Hari Berjalan Sedunia.

Lebih menarik, HSN 2025 turut menawarkan pelbagai aktiviti sukan percuma seperti berbasikal, street soccer, frisbee, gusti lengan, memanah dan cup stacking yang terbuka kepada semua lapisan masyarakat.
Selain Ipoh, Pulau Pinang turut menjadi lokasi pelancaran rasmi HSN 2025 yang akan disempurnakan oleh EXCO Belia, Sukan dan Kesihatan negeri, Daniel Gooi Zi Sen dengan penyertaan besar komuniti setempat.
Pos Malaysia turut menyokong pengedaran 15,000 helai baju larian di kedua-dua lokasi sebagai simbol komitmen terhadap gaya hidup sihat dan penyertaan rakyat Malaysia dalam aktiviti berteraskan kecergasan.
Ketua Pegawai Eksekutif Pos Malaysia, Charles Brewer berkata, penglibatan syarikat itu bukan sekadar dalam bidang logistik tetapi sebagai pemangkin komuniti aktif, selaras dengan aspirasi negara membina masyarakat sihat dan bersatu padu.