NEGARA Amerika Syarikat menghalang delegasi kebangsaan Iran daripada menghadiri cabutan rasmi 2026 Piala Dunia FIFA selepas menolak permohonan visa mereka, termasuk Presiden Persatuan Bola Sepak Iran, jurulatih utama serta tujuh pegawai kanan.

Keputusan ini dibuat walaupun Presiden FIFA, Gianni Infantino, sebelum ini memberi jaminan bahawa pasukan kebangsaan Iran dan pegawainya akan dapat menyertai Piala Dunia 2026, dengan isu visa akan diselesaikan sebelum kejohanan berlangsung.

Langkah AS itu menimbulkan kontroversi, terutamanya berikutan tindakan FIFA sebelum ini yang menggantung Russia dalam masa singkat selepas pencerobohan ke atas Ukraine. Namun, Iran kini dihalang daripada hadir ke acara penting tersebut, manakala Israel terus dibenarkan beraksi walaupun berdepan kritikan antarabangsa susulan operasi ketenteraan yang mengakibatkan korban awam.

Situasi ini menimbulkan persoalan mengenai konsistensi dan kredibiliti FIFA dalam menangani isu geopolitik di arena sukan antarabangsa. Beberapa pihak mempertikaikan keputusan FIFA yang tidak mengambil tindakan terhadap Israel, walaupun konflik di Gaza mendapat liputan meluas dunia.

Bagi Iran, halangan ini bukan sahaja mengugat peluang mereka dalam cabutan undian Piala Dunia 2026, tetapi turut mencerminkan tekanan politik yang semakin membelenggu dunia sukan. FIFA bagaimanapun menegaskan bahawa bola sepak tidak seharusnya digunakan untuk menyelesaikan masalah geopolitik, namun peranan badan induk itu kini dilihat diuji lebih dari sebelumnya.

Cabutan rasmi Piala Dunia 2026 dijadual berlangsung tidak lama lagi, dan ketidakhadiran delegasi Iran memberi impak besar kepada suasana persediaan awal kejohanan yang bakal menyaksikan Amerika Syarikat menjadi tuan rumah bersama Kanada dan Mexico