PENYERANG berbisa Johor Darul Ta’zim, Bergson da Silva menegaskan skuad Harimau Selatan masih memiliki motivasi tinggi untuk memburu satu lagi kejuaraan menjelang final Piala Malaysia menentang Kuching City FC malam esok.
Menurut penyerang dari Brazil itu, status sebagai juara bertahan dan harapan tinggi penyokong menjadi faktor utama JDT terus mengekalkan mentaliti kemenangan setiap musim.
“Jersi ini sangat berat untuk dipakai kerana jangkaan sentiasa tinggi. Semakin banyak yang kami capai, semakin banyak orang harapkan daripada kami,” katanya pada sidang media praperlawanan.
Bergson percaya final kali ini menjadi peluang terbaik buat JDT membuktikan karakter sebenar pasukan selain memastikan trofi kembali ke Johor.
Beliau turut menganggap sokongan penyokong dan semangat kekeluargaan dalam pasukan sebagai kekuatan utama Harimau Selatan sepanjang musim ini.
Mengulas statistik peribadinya dalam saingan Piala Malaysia, Bergson mengakui pencapaian tersebut cukup membanggakan namun menegaskan kejayaan pasukan tetap menjadi keutamaan.
Setakat ini, penyerang berusia 35 tahun itu sudah menjaringkan 36 gol daripada 30 penampilan dalam kejohanan berprestij berkenaan.
“Menjaringkan gol memang bagus, tetapi saya lebih mahukan gelaran juara berbanding statistik individu,” katanya.
Bergson juga mengimbau kekalahan JDT kepada Kuala Lumpur City FC pada final Piala Malaysia 2021 yang menurutnya menjadi titik penting kebangkitan mentaliti pasukan.
Katanya, kekalahan tersebut memberi pengajaran besar buat JDT untuk membina identiti lebih kuat dalam setiap perlawanan akhir selepas itu.
“Sejak hari itu, kami berjanji tidak mahu kalah lagi tanpa identiti. Apa pun yang berlaku esok, kami mahu tunjukkan identiti kami sebagai satu pasukan,” katanya.
Dalam masa sama, Bergson turut menyambut baik penggunaan pengadil luar negara dari Qatar untuk final kali ini sambil menyifatkan ia mampu meningkatkan standard perlawanan dan profesionalisme bola sepak tempatan.