LIGA A1 Semi-Pro kini dihimpit isu besar apabila sekurang-kurangnya enam pemilik pasukan dilaporkan ‘ghaib’ dan gagal dihubungi sejak beberapa bulan lalu.
Situasi ini menyebabkan pemain dan jurulatih terkapai-kapai tanpa hala tuju yang jelas, malah terpaksa meneruskan saingan liga tanpa bayaran gaji sejak pertengahan tahun lalu.
Antara pasukan yang dikenal pasti menghadapi isu tunggakan gaji ialah Gombak FC, Harini Selangor FT, Bukit Tambun FC, PT Athletic, KL Rovers, dan PIB Shah Alam.
Ketua Pegawai Operasi Liga Bola Sepak Amatur (AFL), Mohd Raimi Fakri Mohd Fuad, menegaskan bahawa aduan rasmi adalah langkah penting untuk menangani masalah pemilik kelab yang gagal memenuhi tanggungjawab kewangan mereka.
“Proses tindakan hanya boleh dimulakan apabila aduan rasmi dikemukakan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM). Dari situ, mesyuarat jawatankuasa FAM akan menentukan tindakan yang sesuai,” katanya kepada FLASH SUKAN.

PIB Shah Alam atara pasukan yang dikenal pasti menghadapi isu tunggakan gaji.
Tambahnya, tanpa aduan rasmi, usaha untuk mengambil tindakan menjadi rumit kerana tiada rekod sah yang boleh dijadikan asas, seperti jumlah tunggakan atau bilangan individu yang terjejas.
Mohd Raimi menggesa jurulatih dan pemain Liga A1 Semi-Pro yang menghadapi masalah gaji tertunggak supaya terus tampil membuat laporan kepada Bahagian Undang-undang FAM.
“Kami menggalakkan kelab-kelab terlibat supaya segera menyelesaikan isu ini. Sebagai penganjur Liga A1 Semi-Pro, kami mahu liga berjalan lancar tanpa gangguan,” katanya.
Masalah ini menjejaskan kredibiliti liga, selain memberi isyarat bahawa Liga A1 mungkin berdepan penamatan sekiranya tiada tindakan segera diambil.
Pemain dan jurulatih kini berharap agar pihak berkaitan tampil dengan penyelesaian untuk memastikan liga terus menjadi platform pembangunan bakat muda dalam bola sepak negara.