PENYERANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Bergson Da Silva tampil selaku wira apabila meledak hatrik sekali gus membantu skuad Harimau Selatan melakar kemenangan bergaya 4-0 ke atas Bangkok United dalam aksi kedua Shopee Cup di Stadium Sultan Ibrahim, pada Khamis.
Babak pertama menyaksikan Bangkok United bermula agresif dengan percubaan awal seawal minit kelima namun gagal menewaskan Syihan Hazmi yang tenang mengawal gawang JDT. Drama tercetus pada minit ke-18 apabila pelawat dihadiahkan sepakan penalti sebelum VAR membatalkan keputusan selepas terjahan Jon Irazabal didapati tidak berbahaya.
Selepas itu, JDT mula menguasai permainan dengan melancarkan beberapa serangan berbahaya namun percubaan Bergson dan rakan sepasukan sekadar tersasar. Kedudukan 0-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama meskipun tuan rumah meningkatkan tempo pada penghujung aksi.
Bersambung babak kedua, sorakan penyokong tuan rumah akhirnya terlerai apabila Bergson membuka tirai jaringan pada minit ke-46 hasil gerakan Oscar Arribas. Gol itu menjadi pemangkin kebangkitan JDT untuk terus menggandakan serangan.
Hanya enam minit kemudian, giliran penyerang kebangsaan, Joao Figueiredo menambah jaringan kedua buat JDT selepas penyudah kemasnya gagal disekat benteng lawan pada minit ke-52.
Bergson terus membuktikan ketajaman di depan gawang apabila meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-73 untuk meletakkan Harimau Selatan selesa mendahului 3-0. Aksi penuh bertenaga pemain Brazil itu nyata menundukkan moral skuad Bangkok United.
Pesta gol JDT dilengkapkan pada masa tambahan apabila Bergson mencipta hatrik, sekaligus memastikan kemenangan 4-0 yang tidak mampu disekat pelawat. Hatrik itu sekali gus menegaskan statusnya sebagai penyerang utama Harimau Selatan musim ini.
Kemenangan ini bukan sahaja menghadiahkan tiga mata penuh buat JDT, malah menjadi suntikan motivasi penting sebelum turun menentang Machida Zelvia dalam aksi ACL Elite pada 30 September. Bangkok United pula akan kembali mengharungi saingan Liga Thailand menentang Ratchaburi pada 28 September.