FOTO : JDT Racing Team

PENUNGGANG JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah berterima kasih kepada Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) kerana mengalu-alukan dirinya kembali selepas 12 tahun.

Dalam satu temubual selepas perlumbaan, Hafizh turut mengucapkan terima kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, yang memberi sokongan dalam kerjaya perlumbaan.

Akuinya, dia berasa terhutang budi kepada TMJ kerana memberinya peluang beraksi dalam perlumbaan terbaik sepanjang hidupnya.

“Saya hampir memutuskan untuk tidak berlumba, mungkin sedikit berehat, tetapi saya percaya pada diri saya sendiri. Saya terus bekerja lebih supaya boleh bertarung,” katanya.

Hafizh yang mengungguli perlumbaan sejak pusingan pertama mengakhiri cabaran dengan status naib juara menerusi catatan 1:36.123 saat (s) manakala Andi Farid unggul dengan 0.151s di depan.

Tempat ketiga menjadi milik seorang lagi pelumba Honda Dream Asia Racing Team with Astemo dari Thailand, Nakarin Atiratphuvapat.

Hafizh (kiri) naik podium bersama penunggang Indonesia dan Thailand.

Hafizh menambah, “Kami menjadikan Asia sekarang lebih besar daripada yang saya fikirkan dalam media sosial, dan saya rasa semua orang tahu pandangan itu. Saya sangat menghargainya. Ini adalah perlumbaan yang kita mainkan dengan hidup kita.

“Kita mesti menghormati antara satu sama lain. Kami adalah sukan yang berbeza, kami bermain dengan kehidupan kami.”

“Pada saat kami berkongsi podium, saya sangat gembira dan menghargai siapa saingan saya. Apabila kami berlawan di luar trek, kami berkawan, kami bercakap antara satu sama lain. Jika apa-apa berlaku antara satu sama lain boleh membantu pada masa hadapan,” katanya.

Hafizh mula gilap namanya kembali bersama JDT Racing Team.

Pelumba berusia 29 tahun itu menyatakan kesyukurannya dan mengingatkan kepada semua bahawa dalam dunia sukan, penghormatan dan persefahaman adalah kunci untuk membangunkan sukan yang lebih besar dan lebih baik di masa depan.

Kejayaan podium Hafizh semalam dijangka menambahkan lagi semangat dirinya bersama krew JDT Racing Team untuk menghadapi pusingan kedua ARRC 2024 di Zhuhai, China pada 19 hingga 21 April depan.

Kemudian kerancakan saingan diteruskan di Mobility Resort Motegi, Jepun (7-9 Jun), Litar Antarabangsa Mandalika, Indonesia (26-28 Julai), Litar Antarabangsa Sepang (SIC) (13-15 September) sebelum berakhir di Litar Antarabangsa Chang (6-8 Disember).