PASUKAN Johor Tigers telah bersedia untuk membawa Piala Agong edisi ke 42 kali ini ke bumi Johor.
Kali terakhir pasukan ragbi Johor memenangi kejohanan Piala Agong adalah pada tahun 2017.
Presiden Kesatuan Ragbi Johor, Dato’ Haji Mohd Noorazam berkata Johor Tigers telah melakukan pelbagai persiapan menjelang Piala Agong ini.
“Johor Tigers pada musim ini melakukan ‘Tour Sri Lanka’ di mana para pemain diberi pendedahan di peringkat antarabangsa.
“Para pemain mempelajari pelbagai ilmu daripada jelajah ini,” katanya dalam sidang media.

Presiden Kesatuan Ragbi Johor, Dato’ Haji Mohd Noorazam
Beliau menambah pelbagai pelaburan dan peningkatan daripada segi sains sukan dibuat untuk pasukan selepas kekalahan pada final edisi lepas.
Pengerusi Jawatankuasa Belia Sukan,
Pembangunan Usahawan Dan Koperasi Negeri Johor, Tuan Mohd Hairi yang turut hadir pada majlis mengharapkan Piala Agong dibawa kembali ke tanah Johor bagi edisi kali ini.
Di samping itu, pada majlis pelancaran dan sidang media pasukan Johor, para pemain import dan naturalisasi menandatangani kontrak bersama pasukan Johor Tigers.
Mencuri perhatian apabila Tavaefaga Timothy Nanai Tavae atau dikenali Tim Nanai-Williams yang bakal memperkuat pasukan Johor Tigers bagi Piala Agong ini.
Piala Agong 2026 bakal membuka tirai pada 9 Mei 2026 dengan pasukan Johor Tigers akan bertemu Putrajaya di Stadium Ragbi Johor.