PELUANG buat skuad hoki wanita kebangsaan menamatkan saingan Sukan Asia ke-19 dalam kelompok empat terbaik tetap ada, biarpun Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sekadar mensasarkan lima terbaik buat mereka.
Penyerang berpengalaman, Hanis Nadiah Onn, yang kembali bersama skuad kebangsaan selepas penggantungan sejak Februari lalu, yakin kemampuan skuad yang rata-rata dibarisi pemain muda kali ini.
“Tidak mustahil untuk kami memasuki kelompok empat terbaik, tapi seluruh pasukan perlu berkerja keras,” kata Hanis.
Menurutnya, penggantungan yang dialami tidak menjejaskan secara langsung kepada prestasinya.

Hanis Nadiah Onn mengambil inisiatif sendiri melakukan senaman di luar waktu latihan padang. -Pix Ihsan Hokita.
“Isu penggantungan saya letak tepi kerana saya hanya fokus kepada prestasi saya .
“Saya memang sasarkan untuk berada dalam skuad ke Sukan Asia, jadi saya lakukan extra work, di luar padang saya melakukan senaman walaupun jurulatih tidak minta.”
Menurutnya, sasaran menamatkan saingan di kedudukan lima terbaik oleh KHM, cukup realistik terutama skuad kali ini dibarisi ramai pemain berusia bawah 23 tahun.
Mengakui teruja bakal mewakili negara di Sukan Asia buat kali kedua, Hanis bersama lima lagi pemain senior dalam skuad Nuraini Abdul Rashid, Raja Norsharina Shabuddin, Julaini Mohamad Din, Wan Norfaiezah Saiuti dan Fatin Shafika Mahd Sukri, adalah pemimpin kepada pemain muda.

Skuad hoki wanita negara dibarisi ramai pemain bawah 23 tahun.
“Tidak susah membimbing pemain muda kerana mereka yang berada dalam skuad kali ini berada pada kondisi terbaik, jadi tiada masalah untuk permainan kami.
“Paling penting, kami fokus kepada satu per satu perlawanan biarpun India dan Korea Selatan berada satu kumpulan dengan kami,” kata Hanis, yang kini bekerja di Majlis Sukan Negara (MSN).
Skuad wanita negara diletakkan dalam kumpulan A di Temasya Hangzhou, bakal membuka saingan menentang Hong Kong pada 25 September, India (29 September), Singapura (1 Oktober) dan Korea Selatan (3 Oktober).
Skuad bimbingan jurulatih Nasihin Nubli Ibrahim berada di ranking ke-19 dunia, adalah pasukan kelima terbaik Asia di belakang India (tujuh dunia), Jepun (10), China (11) dan Korea Selatan (12).