AGENSI Anti-Doping Malaysia (Adamas) memberi tempoh sehingga 11 Julai ini kepada atlet olahraga yang gagal ujian doping di Kejohanan Trek dan Balapan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) 2023, untuk memberikan surat tunjuk sebab.

Menurut Pengarah Adamas, Azura Abidin, jika atlet olahraga terbabit tidak membalas surat tunjuk sebab pada tarikh yang ditetapkan, pihaknya akan memulakan siasatan sebelum mengadakan perbicaraan.

“Bagi tempoh sekarang atlet berkenaan perlu membalas surat tunjuk sebab dan mencabar ujian sampel B. Jika dia tidak buat berbuat demikian, siasatan akan dijalankan dan Adamas bakal menjatuhkan hukuman,” katanya, ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Akuan Sokongan Kod Sukan Selamat KBS bersama Adamas, Pegawai Kawalan Doping (DCO) dan Pendidik Anti Doping (Educator) di Menara KBS, Putrajaya.

Tambah beliau, ketika perbicaraan, atlet terbabit mempunyai dua pilihan sama ada mengaku bersalah atau membawanya ke panel pendengaran.

“Kita tunggu 11 Julai sehingga jam 5 petang. Kalau atlet berkenaan beri surat tunjuk sebab dan ujian sampel B barulah kita akan siasat,” katanya.

Atlet kejohanan trek gagal ujian kawalan doping – Adamas

Sementara itu Azura berkata, tiada kes doping membabitkan atlet yang mengambil bahagian di Sukan Sea Kemboja lalu.

Bulan lalu, Adamas mengumumkan bahawa terdapat atlet olahraga dilaporkan gagal dalam ujian doping yang dijalankan ketika beraksi Kejohanan Trek dan Balapan KOM 2023.

Bagaimanapun, dalam kenyataan pada 10 Jun itu, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak mendedahkan status individu sama ada ia adalah atlet kebangsaan atau sebaliknya, memandangkan kejohanan itu membabitkan beberapa kelab dan pasukan negeri.

Pengesahan keputusan diterima dari Makmal Anti-Doping, Doha, Qatar (ADLQ) bagi analisis sampel atlet olahraga berkenaan dengan penemuan bahan terlarang dalam sampel berkenaan iaitu dalam kelas S.6 Stimulants-sibutramine.

Adamas beri masa seingga 11 Julai untuk atlet olahraga terbabit beri surat tunjuk sebab dan mencabar sampel ujian B. Pix by KBS

Sibutramine bahan disenaraikan dalam senarai bahan dilarang penggunaannya sewaktu pertandingan oleh Agensi Anti Doping Dunia (WADA).

Atlet berkenaan adigantung sementara daripada menyertai sebarang kejohanan atau pertandingan lain sehingga keputusan proses pendengaran diumumkan.

“Antara bentuk hukuman ialah atlet yang dikesan mengambil sibutramine boleh dikenakan hukuman maksimum selama dua tahun, atau dengan kadar lebih rendah. Berbanding dengan penggunaan bahan terlarang yang bertujuan seperti steroid boleh dikenakan hukuman maksimum empat tahun,” katanya.