PENGGUNAAN “Challenge System” pada temasya Sukan SEA 2025 di Thailand hujung tahun ini diwajibkan Persekutuan Sepaktakraw Asia (ASTAF) dalam memastikan keadilan dan ketelusan setiap keputusan perlawanan.

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader menegaskan langkah itu sejajar dengan komitmen badan induk berkenaan untuk menegakkan integriti dan ketepatan dalam sukan sepaktakraw moden.

Presiden ASTAF, Datuk Abdul Halim Kader pertandingan sahkan Sukan SEA 2025 wajib menggunakan sistem challenge.

Menurutnya, sistem berasaskan teknologi itu bukan lagi dianggap satu kemewahan, sebaliknya keperluan mutlak dalam sukan yang kini dimainkan pada kelajuan melebihi 100 kilometer sejam.

“Dalam sukan sepantas ini, mustahil untuk pengadil membuat keputusan tepat dalam masa 0.1 saat, sedangkan mata manusia memerlukan sekurang-kurangnya 0.25 saat untuk memproses visual,” katanya.

Kelajuan bola rejaman boleh menimbulkan kekeliruan dari segi penglihatan kasar, sekali gus memerlukan teknologi digunakan demi keadilan dalam perlawanan.

Abdul Halim menjelaskan, menerusi sistem berkenaan, rakaman pelbagai sudut kamera berdefinisi tinggi akan digunakan bagi menyemak keputusan secara slow motion untuk memastikan ketepatan mutlak.

Katanya, usaha itu bukan sekadar melindungi pengadil daripada kecaman, malah memperkukuh keyakinan umum terhadap keadilan dan profesionalisme pengadilan di peringkat antarabangsa.

“Pengenalan Challenge System di Sukan SEA 2025 menjadi satu lagi pencapaian penting dalam pemodenan sepaktakraw, membuktikan gabungan kepakaran manusia dan ketepatan digital mampu menjunjung semangat kesukanan sejati,” katanya.