
“Doa kami permulaan positif ini akan tingkatkan motivasi dan inspirasinya” – Fahmi Tajuid

“SYUKUR sangat-sangat dengan permulaan dan proses yang sedang Azeem dilalui.
Demikian ungkapan bapa kepada pelari pecut negara, Mohd Fahmi Tajuid selepas anaknya, Muhammad Azeem mempamerkan prestasi seperti diharapkan dalam Kejohanan Tiger Paw, di Amerika Syarikat, pagi Sabtu tadi.
Azeem gah membaharui rekod kebangsaan miliknya dalam acara pecut 60 meter (m) lelaki dalam dewan.
Atlet berusia 18 tahun mewakili Universiti Auburn mencatat masa 6.62 saat (s) pada final untuk menamatkan saingan di kedudukan kelima, dibelakang Alex Lang dari NC State yang berada di kedudukan keempat dengan catatan 6.61s.
“Doa kami supaya permulaan positif ini akan meningkatkan motivasi dan inspirasinya untuk terus kuat dalam menghadapi cabaran di sana.
“Ia merangkumi semua aspek sama ada dalam sukan serta pembelajarannya,” katanya kepada FLASH SUKAN pada Sabtu.
ARTIKEL BERKAITAN : Kejohanan Tiger Paw : Catatan 6.62s, Azeem Fahmi pecah rekod 60m lagi
Ujar Mohd Fahmi yang menetap di Teluk Intan, Perak dia berhasrat bertemu Azeem jika ada rezeki untuk melihat suasana dan perkembangan anaknya itu di Amerika Syarikat.
Azeem yang berasal dari Ipoh mencipta sensasi apabila memecahkan rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09 saat di Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Cali, Colombia, Ogos tahun lalu.
Pencapaian itu menyaksikan dia menerima beberapa tawaran untuk melanjutkan pengajian dan mengembangkan kerjaya olahraganya di Amerika Syarikat sebelum memilih Universiti Auburn.