MAJLIS Sukan Negara (MSN) telah memberikan insentif khas berjumlah RM90,000 kepada skuad boling negara yang berjaya mencatatkan kejayaan cemerlang di Kejohanan Piala Dunia Boling Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Hong Kong awal bulan ini.
Insentif tersebut adalah pengiktirafan terhadap pencapaian luar biasa atlet negara walaupun kejohanan tersebut pada asalnya tidak disenaraikan oleh Kongres Tenpin Boling Malaysia (MTBC) dalam Skim Hadiah Kemenangan Sukan (SHAKAM).
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, menyampaikan insentif tersebut dalam satu majlis yang berlangsung di Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

Hannah Yeoh (tengah) menyampaikan insentif khas berjumlah RM90,000 kepada skuad boling negara.
Natasha Roslan yang telah mencipta sejarah apabila menjadi atlet wanita pertama Malaysia yang merangkul kejuaraan individu wanita dalam Kejohanan Piala Dunia IBF selepas 53 tahun, turut menerima insentif sebanyak RM20 ribu atas kejayaan tersebut.
Dalam acara berpasukan lelaki, gandingan mantap Muhamad Rafiq Ismail, Ahmad Muaz Fishol, Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam, dan Timmy Tan berjaya menjuarai kategori tersebut dan masing-masing menerima insentif keseluruhan RM40,000.
Selain itu juga, Rafiq yang turut bergelar naib juara acara individu lelaki menerima tambahan RM10,000.
Manakala, pasukan wanita yang dianggotai Natasha, Sin Li Jane, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman, dan Gillian Lim turut mencatat kejayaan membanggakan apabila meraih gelaran naib juara acara berpasukan wanita, sekali gus membawa pulang RM20,000.
Kejayaan Natasha ini melengkapkan koleksi kejuaraannya, selepas pernah muncul juara individu wanita di Kejohanan Boling Dunia 2023 di Salmiya, Kuwait, serta juara berpasukan dunia pada kejohanan di Las Vegas, Amerika Syarikat pada tahun 2017.
Kejayaan ini bukan sahaja menyuntik semangat kepada generasi baharu atlet negara, malah mengukuhkan status Malaysia sebagai kuasa besar dalam arena boling dunia.