BINTANG Argentina, Lionel Messi tampil menjernihkan suasana dengan menegaskan bahawa kononnya wujud permusuhan antara pasukan negaranya dan Mexico hanyalah naratif yang dibina media — bukan realiti di padang.
Dalam temu bual bersama Simplemente Futbol, pemenang Ballon d’Or lapan kali itu menolak dakwaan yang timbul selepas video pasca perlawanan Piala Dunia Qatar 2022 tersebar, menunjukkan Messi kelihatan seperti menyepak jersi kapten Mexico, Andres Guardado, dalam bilik persalinan. Klip itu mencetuskan kekecohan, termasuk reaksi panas dari beberapa pihak.
“Mexico meletakkan diri mereka dalam situasi seolah-olah kami ada perseteruan, sedangkan perkara itu sebenarnya tak pernah wujud,” ujar Messi dengan tenang.
Messi turut menjelaskan bahawa hubungannya dengan rakyat Mexico kekal baik, malah beliau sentiasa menerima layanan penuh hormat dan kasih sayang daripada penyokong negara itu sepanjang kariernya.
“Saya sentiasa rasa dihargai oleh orang Mexico. Saya tak pernah kurang ajar dengan sesiapa pun,” tambah kapten Inter Miami itu.
Mengimbas kembali detik penting di Qatar, Messi mengakui bahawa jaringan menentang Mexico dalam perlawanan peringkat kumpulan adalah momen yang paling memberi kelegaan buat dirinya dan pasukan Argentina.
“Gol paling saya nikmati di Qatar ialah ketika menentang Mexico. Bukan sebab penyokong mereka, jauh sekali — tapi kerana ia benar-benar melegakan dan membolehkan kami bermain seperti biasa semula,” katanya.
Sejak 2006, Messi sudah menjaringkan empat gol menentang Mexico dalam enam pertemuan — dan kekal tanpa kalah menentang skuad El Tri.
Di sebalik segala kekecohan luar padang, Messi kekal sebagai figura tenang yang lebih berminat dengan bola sepak berbanding drama. Dan buatnya, ‘rivalry’ sebenar hanya wujud di antara tiupan wisel pertama dan yang terakhir.