PELARI pecut sensasi negara, Muhammad Azeem Fahmi kandas di suku akhir Kejohanan Trek dan Balapan NCAA Divisyen 1, Pusingan Pertama Timur di Florida, Amerika Syarikat pagi tadi biarpun berjaya merakam catatan 10.04 saat (s).

Catatan melepasi rekod kebangsaan miliknya 10.09s, namun tidak diiktiraf sebagai rekod baharu kerana faktor bantuan angin.

Azeem menamatkan saingan di tempat ke-11 daripada keseluruhan 24 peserta di belakang atlet mewakili Louisiana Tech, Rodney Heath Jr yang melakukan catatan 9.99s.

Azeem menamatkan larian saringan ketiga suku akhir Kejohanan Trek dan Balapan NCAA Divisyen 1, Pusingan Pertama Timur di Florida, Amerika Syarikat di kedudukan keenam,

“Walaupun saya tidak dapat layak ke peringkat kebangsaan, saya masih berbangga dengan diri saya. Allah adalah sebaik-baik perancang. Musim yang masih panjang di depan, saya akan kembali,” kata Azeem menerusi akaun Twitternya, “azeemfahmi”.

Azeem dari Universiti Auburn berlari pada saringan ketiga suku akhir, menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam, yang menyaksikan atlet Universiti Louisiana State, Da’Marcus Fleming yang menemui garisan penamat di tempat pertama dengan catatan 9.85s manakala Cole Beck (Virginia Tech) berada di tempat kedua, 9.87s.

Berada di tempat ketiga adalah atlet Universiti Florida, Pj Austin yang mencatat 9.88s sekali gus ketiga-tiga pelari itu menggungguli senarai teratas layak ke pusingan berikutnya.

Rakan seperjuangan Azeem di Universiti Auburn, Favour Ashe yang menjuarai saringan pertama, muncul pelari keempat terpantas keseluruhan dengan catatan 9.92s.

Kedudukan keseluruhan pelari peringkat suku akhir Kejohanan Trek dan Balapan NCAA Divisyen 1, Pusingan Pertama Timur di Florida, Amerika Syarikat. Azeem di kedudukan ke-11.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan Azeem, 19, mengalami kecederaan pangkal paha pada saringan pusingan pertama dan perlu mendapatkan ‘lampu hijau’ daripada pakar perubatan untuk menyertai saingan suku akhir.

Meskipun berada dalam keadaan kurang cergas, Azeem berjaya menamatkan saringan pusingan pertama itu dalam kelompok tiga pelari terpantas dengan catatan 10.21s.