KELAB Bola Sepak Selangor sekali lagi membuktikan kesungguhan mereka dalam merancang masa depan bola sepak dengan mengorak langkah luar kotak — menempatkan skuad bawah-23 mereka dalam saingan Liga Singapura musim depan melalui jalan strategik yang tidak memerlukan restu AFC.

Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon menjelaskan bahawa langkah tersebut boleh direalisasikan menerusi penubuhan sebuah anak syarikat yang beroperasi terus dari Singapura, sepertimana dilakukan kelab Jepun, Albirex Nigata yang telah lama menjadi peserta tetap liga negara itu.

“Kita tak berhubung dengan AFC, tapi kita dah maklumkan kepada FAM tentang niat ini. Ada beberapa model untuk bermain di luar negara, dan salah satunya adalah membuka syarikat di Singapura,” katanya, menjelaskan strategi yang dianggap lebih praktikal dan berdikari.

Dr. Johan turut mengesahkan bahawa selain penyertaan ke Liga Singapura, sebuah lagi pasukan daripada struktur Selangor juga akan menyertai Liga A1 musim depan, menunjukkan komitmen jangka panjang kelab itu dalam membina laluan pembangunan pemain yang lebih luas dan kompetitif.

Langkah ini bukan sahaja menjadi isyarat kepada keazaman Selangor FC untuk membawa pembangunan bola sepak ke tahap lebih tinggi, malah turut memberi tamparan lembut kepada pihak yang masih berfikir dalam kerangka lama. Selangor FC kini dilihat bukan sekadar bercakap soal pembangunan — mereka bertindak.