JURULATIH beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi menegaskan beliau tidak mahu melayan karenah pemain yang memberi terlalu banyak alasan kerana masih ramai lagi pemain lain perlu diberi perhatian dalam program skuad negara.

Situasi itu timbul selepas gandingan negara Choong Hon Jian dan Haikal Nazri menarik diri daripada Terbuka Switzerland susulan kekalahan pusingan pertama mereka di Seluruh England.

Herry menjelaskan keputusan menarik diri itu bukan datang daripadanya sebaliknya dibuat sendiri oleh pemain terbabit yang memaklumkan tidak mahu beraksi di Switzerland.

“Saya tidak suruh dia pull out, itu keputusan dia sendiri dan kalau dia mahu tarik diri dia perlu beritahu pihak pengurusan,” katanya.

Menurut jurulatih berpengalaman dari Indonesia itu, Haikal memberi alasan mengalami kecederaan kaki namun beliau sendiri tidak melihat sebarang tanda jelas yang menunjukkan pemain berkenaan benar-benar cedera.

“Dia kata injured tapi saya tengok tak ada injured, kalau betul cedera biasanya kita boleh nampak sama ada kaki atau pergerakannya bermasalah,” katanya.

Herry bagaimanapun tidak mahu terlalu memikirkan perkara itu kerana fokusnya kini terarah kepada pemain lain yang masih komited menjalani latihan dan menyertai kejohanan.

“Saya tidak terlalu fikir tentang itu kerana masih ramai pemain lain yang perlu saya fokus dan bantu untuk terus meningkat,” katanya lagi.

Tegasnya lagi, tugas jurulatih hanyalah memberi panduan namun keputusan untuk berusaha dan mengikut program latihan tetap bergantung kepada kemahuan pemain sendiri.