PENGENDALI Selangor FC, Katsuhito Kinoshi enggan panik biarpun Sang Gergasi Merah berdepan prestasi tidak menentu menjelang aksi penting Asean Club Championship (ACC) Shopee Cup menentang Tampines Rovers pada Rabu di Stadium MBPJ.

Selepas dua kekalahan berturut-turut dalam saingan tempatan, Selangor berdepan cabaran getir apabila lawan dari Singapura itu tiba dengan rekod tanpa kalah sepanjang musim, termasuk kemenangan terbaru ke atas FC Kaya dalam pentas AFC Champions League Two. Situasi ini nyata menambah tekanan buat Kinoshi, namun pengendali Jepun itu menegaskan sudah bersedia memikul tanggungjawab.

“Sudah tentu ada tekanan tetapi kenapa saya di sini adalah untuk mengambil tanggungjawab. Ini adalah kerja saya,” katanya pada sidang media pra-perlawanan.

“Beliau dalam masa sama menegaskan pemain perlu menukar mentaliti kerana Shopee Cup adalah kejohanan berbeza dan tidak wajar dikaitkan dengan keputusan hambar dalam liga.

“Kita semua tahu ini adalah kejohanan berbeza jadi kami perlu mengubah minda dan cara berfikir. Sebagai contoh, kami seri menentang Buriram United dalam aksi Shopee Cup, jadi tiada kena mengena dengan kekalahan kepada Kuching City dan Bangkok United,” jelasnya.

Untuk rekod, Selangor telah meraih empat kemenangan, satu seri dan empat kekalahan dalam sembilan perlawanan musim ini, rekod yang menimbulkan keresahan dalam kalangan penyokong setia.

Justeru, aksi menentang Tampines Rovers pada 24 September, jam 9 malam, menjadi medan kebangkitan buat Sang Gergasi Merah untuk kembali meyakinkan peminat serta membuktikan mereka masih mampu bersaing di pentas Asia Tenggara.

Foto: Selangor FC