JAGUH angkat berat negara, Muhammad Aznil Bidin teruja mencabar diri dalam kategori baharu 65 kilogram (kg) selepas Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) menyusun semula kelas berat bermula tahun ini.

Aznil, 30, sebelum ini beraksi dalam kategori 67kg, berkata perubahan itu tidak memberi kesan besar kerana berat badannya sememangnya sekitar 65kg.

“Tak banyak beza pun, sebelum ni pun berat saya tak sampai 67kg. Jadi, tukar ke 65kg bukan isu. Sekarang fokus saya nak mantapkan angkatan,” kata Aznil kepada Flash Sukan.

Menurut Aznil, kejohanan pertama kategori baharu akan bermula Jun ini dan dia akan mula bertanding dalam kategori baharu itu pada Kejohanan Kebangsaan di Johor, sebelum ke India bagi menyertai Kejohanan Komanwel pada Ogos (kelayakan Sukan Komanwel).

Empat kejohanan utama sudah menanti, termasuk Sukan SEA dan Kejohanan Dunia hujung tahun ini, menjadi pentas utama mencipta nama dalam kategori baharu.

“Target saya tahun ni angkatan 308kg. Saya pernah capai 307kg sebelum ni. Jadi insya-Allah boleh. Yang penting sekarang fokus satu-satu dulu,” katanya yang sudah mendapat lampu hijau daripada Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) dan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk beraksi di kategori 65kg.

Aznil juga percaya kategori baharu membuka peluang kepada semua atlet untuk mencipta rekod dunia memandangkan semuanya bermula dari kosong.

Hujung tahun lalu, IWF mengumumkan memperkenal kategori baharu bagi lelaki iaitu 60kg, 65kg, 71kg, 79kg, 88kg, 98kg, 110kg dan 110kg ke atas menggantikan kategori berat badan lama, 55kg, 61kg, 67kg, 73kg, 81kg, 89kg, 96kg, 102kg, 109kg dan 109kg ke atas.