KUARTET 4×100 meter (m) lelaki kebangsaan memberi bayangan positif menjelang temasya Sukan SEA 2025 di Bangkok, Thailand hujung tahun ini, selepas menghadiahkan pingat gangsa dalam Kejohanan Olahraga Super Series Kuala Lumpur 2025 meskipun baru digandingkan.

Gandingan Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa, Pengiran Aidil Auf Hajam dan Muhammad Zulfiqar Ismail mencatat masa 40.55 saat (s) dalam aksi di Stadium Merdeka itu, di belakang dua kuartet dari Jerman.

Menurut Khairul, meskipun mereka masih baharu digandingkan, semangat sepasukan dan komitmen yang ditunjukkan memberi harapan untuk memburu pingat di Thailand nanti.

“Kita akan ada lima pelari termasuk Azeem (Mohd Fahmi), penting untuk kekalkan momentum dan bina keserasian,” katanya, selepas menamatkan larian.

Atlet berusia 27 tahun itu mengakui banyak aspek perlu diperbaiki sebelum turun beraksi di Kejohanan Olahraga Asia ke-26 di Korea Selatan hujung bulan ini dan menganggap kejohanan ini sebagai pengalaman berharga.

“Satu dua perkara tak menjadi tapi ISN (Institut Sukan Negara) akan bantu analisis semula larian kami. Kami akan perbaiki dan beri yang terbaik di kejohanan akan datang,” katanya penuh tekad.

Untuk rekod, catatan 40.55s itu jauh dari rekod kebangsaan dicipta gandingan Azeem, Zulfiqar, Muhammad Arsyad Saat dan Muhammad Haiqal Hanafi di Sukan SEA Vietnam 2021, 39.09s.

Malah, kuartet diperkuat Jonathan, Khairul Hafiz, Arsyad dan Mohamad Eizlan Dahalan di Temasya Kemboja iaitu 39.36s, juga lebih baik berbanding catatan pertama skuad senior negara tahun ini.