PENJAGA gol wanita negara, Nurul Azurin Mazlan, kini melangkah ke pentas antarabangsa dengan menyertai kelab KFF Vllaznia dalam Liga Albania selepas mendapat persetujuan pelepasan daripada Pasukan Bola Sepak Wanita Sabah (Sabah FA)

Azurin sebelum ini mencatat sejarah bersama Sabah FA apabila membantu pasukan itu menempah tiket ke Liga Juara-Juara AFC Wanita (AWCL) 2024.

Kejayaan ini hadir selepas aksi cemerlang Sabah FA dalam kelayakan AWCL 2024, yang menyaksikan mereka mengukuhkan kedudukan sebagai antara pasukan terbaik.

“Terima kasih, Sabah FA. Terima kasih atas segalanya dan kerana menjadi rumah saya selama bertahun-tahun. Kata-kata tidak mampu menggambarkan betapa bersyukurnya saya kerana berpeluang bermain bersama anda hari ini.

“Kepada Pengurus, terima kasih atas kepercayaan dan peluang yang diberikan. Semoga tahun hadapan membawa perkara yang lebih hebat lagi. Sampai kita bertemu lagi, Sabah FA. Semoga jalan kita bertemu kembali pada masa hadapan.

“Selamat tinggal buat masa ini, kita akan berjumpa lagi tidak lama lagi,” kata Azurin meluahkan penghargaan kepada Sabah FA di media sosialnya.

Untuk rekod, Azurin pernah beberapa bulan di India untuk bermain bersama Liga Wanita Kartanaka, Misaka United FC pada tahun 2022 sebelum terpilih menjalani kursus kejurulatihan dan klinik bola sepak di Croatia.

Stadium Likas yang menjadi saksi kejayaannya, kini  pasti merindui kelibat Azurin dan semoga langkah baharu Nurul Azurin di Liga Albania membawa kejayaan yang lebih besar dan membuka peluang kepada lebih ramai pemain wanita negara untuk beraksi di peringkat antarabangsa.

ARTIKEL BERKAITAN : Selepas mencari ilmu di India, kini Nurul Azurin berada di Croatia

FOTO: FB AZURIN MAZLAN