PEMAIN badminton negara bakal menerima sentuhan bekas ketua jurulatih badminton China, Li Yongbo.

Perkara itu didedahkan Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Tan Sri Mohamad Norza Zakaria pada sidang media, selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian penajaan antara BAM dengan FreeYond, di Axiata Arena, hari ini.

Menurut Norza, Pengarah FreeYond, Datuk Eddie Chai Woon Chet, mempunyai hubungan yang baik dengan Yongbo dan pihaknya tertarik dengan tawaran Eddie untuk menjadi penghubung antara BAM dan Akademi Li Yongbo di Dongguan, China.

Tawaran Pengarah FreeYond, Datuk Eddie Chai Woon Chet, menghubungkan pemain kebangsaan dengan Akademi Badminton Li Yongbo, satu peluang menaikkan prestasi badminton negara.-Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

“Kenapa kami menerima jalinan kerjasama dengan pihak FreeYond (syarikat pengeluar barangan elektronik dari China) disebabkan Datuk Eddie Chai mempunyai hubungan baik dengan Li Yongbo.

“Jadi Datuk Eddie Chai (Pengarah FreeYond) telah berbincang dengan Li Yongbo untuk cuba membawa beberapa pemain kita untuk dihantar ke akademi Li Yongbo di China. Ini merupakan salah satu perkara yang penting yang menjadi penentu apabila FreeYond berjumpa dengan pihak kami.

“Apa yang saya boleh katakan ini adalah sebahagian daripada kerjasama selain dua pertiga daripada perjanjian ini melibatkan wang tunai,” jelas Norza.

Termetrai… perjanjian penajaan 1 tahun + 1 tahun bernilai RM2 juta setahun, antara FreeYond dengan BAM.

Beliau berkata, kehadiran FreeYond itu membuka ruang untuk memulihkan prestasi badminton negara, terutamanya perseorangan lelaki dan wanita.

“Permulaan, kita akan berbincang untuk menghantar pemain perseorangan lelaki dan wanita, dan  mungkin kita juga akan menghantar pemain elit dalam melakukan persediaan ke Sukan Olimpik.”

Sementara itu, perjanjian penajaan antara BAM dengan FreeYond membabitkan tempoh dua tahun (1+1)  dengan nilai tajaan RM2 juta setahun.

Untuk rekod, Yongbo jurulatih berpengaruh di arena badminton antarabangsa, pernah menjadi ketua jurulatih kebangsaan China selama 24 tahun, selain menjadi tulang belakang mendidik legenda dunia, Lin Dan.

Kehadiran Yongbo sememangnya diharap menjadi jawapan yang telah sekian lama dicari BAM semenjak jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mengumumkan persaraan pada 2019 susulan menghidap kanser hidung.