MASIH belum cukup untuk menang, tetapi cukup untuk memberi harapan.
Itu yang ditampilkan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong, apabila memberi tentangan sengit sebelum akur tewas dalam aksi tiga set kepada pemain tuan rumah, Wong Po Wei, pada pusingan pertama Terbuka Taiwan, hari ini.
Dalam aksi berdurasi 1 jam 27 minit di Arena Taipei, Tze Yong nyata belum berada di tahap terbaik, namun corak permainan yang semakin agresif memberikan bayangan positif. Dia tewas 21-18, 18-21, 17-21.

Pemain perseorangan lelaki Ng Tze Yong.
Ia kekalahan kedua berturut-turut sejak kembali daripada kecederaan belakang yang memaksanya berehat selama setahun, mengulangi nasib yang sama di Kejohanan Badminton Asia bulan lalu selepas disingkirkan juara dunia dari Thailand, Kunlavut Vitidsarn.
Meskipun belum mencatat kemenangan, usaha Tze Yong jelas belum padam. Dia menunjukkan peningkatan ketahanan fizikal dan psikologi, namun diakui masih banyak ‘kerja rumah’ yang perlu disempurnakan sebelum kembali ke prestasi puncak.
Sementara itu, pemain profesional negara, Aidil Sholeh Ali Sadikin, meneruskan cabaran di Taiwan selepas menewaskan pemain muda negara, Tan Jia Jie, 21-13, 11-21, 21-8 untuk mara ke pusingan kedua.
Aidil dijangka berdepan laluan getir apabila bertemu pilihan tuan rumah, Chou Tien Chen, bagi merebut tempat ke suku akhir.
Kem badminton negara turut menerima berita gembira daripada gandingan beregu campuran sementara, Loo Bing Kun-Toh Ee Wei, serta pasangan wanita Ong Xin Yee-Carmen Ting, yang masing-masing mara ke pusingan kedua selepas menewaskan lawan dari Vietnam dan Taiwan.