DUA beregu campuran negara rebah awal di bumi Birmingham apabila terkandas seawal pusingan pertama kejohanan berprestij Seluruh England di Utility Arena, pada Selasa.

Beregu profesional, Lai Pei Jing-Jimmy Wong terlebih dahulu mengucapkan selamat tinggal selepas tunduk straight set 17-21, 18-21 kepada wakil Taiwan, Ye Hong Wei-Nicole Gonzalez Chan dalam tempoh 36 minit.

Kekalahan itu menyaksikan pasangan ranking ke-24 dunia terbabit terus buntu untuk mengatasi gandingan ke-15 dunia berkenaan selepas turut tewas di tangan lawan sama pada pusingan kedua Masters Jepun musim lalu.

Lebih memeritkan, Pei Jing masih gagal mengubati episod duka di Birmingham selepas turut tersingkir di pusingan pertama tahun lalu ketika bergandingan bersama Tan Kian Meng.

Ketika itu, mereka juga kecundang kepada beregu Taiwan, Chen Cheng Kuan-Hsu Yin Hui dalam pertarungan sengit tiga set yang memadam impian lebih awal.

Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin belum kembali ke prestasi terbaik.

Sejak digandingkan pada April 2025, Pei Jing-Jimmy menunjukkan perkembangan positif termasuk muncul naib juara Masters Korea Super 300 November lalu, namun pentas besar jelas masih menjadi ranjau.

Sementara itu, beregu kebangsaan Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin turut menerima nasib sama apabila tewas 17-21, 19-21 kepada gandingan India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto dalam aksi 41 minit yang penuh tekanan.

Keputusan itu bukan sahaja menamatkan cabaran mereka di kejohanan bertaraf Super 1000 itu, malah menyaksikan rekod pertemuan kini memihak kepada pasangan India 2-1 selepas kekalahan terdahulu di Kejohanan Badminton Asia tahun lalu.