
“Pertukaran kelab benda normal” – Tommy Mawat

PEMAIN yang baharu dibawa masuk Negeri Sembilan FC, Tommy Mawat Bada menganggap pertukaran kelab itu adalah perkara biasa bagi pemain bola sepak dan untuk musim ini dia berazam untuk membantu Skuad Jang mengulangi pencapaian musim 2022.
Musim lepas, skuad kendalian K. Devan itu merekodkan pencapaian yang cukup bermakna apabila menamatkan saingan liga di kedudukan keempat selain berjaya meneruskan kemaraan hingga peringkat ke suku akhir Piala Malaysia.
Tommy juga tidak berhadapan masalah untuk menyesuaikan diri dengan pasukan kerana banyak mendapat tunjuk ajar daripada pemain senior seperti Zaquan Adha dan Mahali Jasuli manakala dia juga gembira dengan keserasian bersama-sama pemain import yang baru dibawa masuk.
“Bagi saya pertukaran kelab ini adalah biasa dan bukan benda baharu serta saya sudah biasa untuk mengadaptasi dengan keadaan baharu. Dari Sabah ke NSFC lebih kurang sahaja malah dalam aksi pramusim, kami dah bersama sebagai pasukan dan sudah bertemu dengan pasukan lain.
“Harapan saya untuk skuad NSFC adalah untuk mendapatkan keputusan yang baik. Kami akan harungi perlawanan nanti secara ‘game-by-game‘. Dari situ kami cuba dapatkan keputusan yang baik dan bawa ke perlawanan seterusnya. Ini akan beri ‘positive mindset‘ kepada semua pemain dan kami akan cuba kekalkan momentum permainan yang bagus untuk dapatkan keputusan baik,” katanya
Berhubung persiapan pasukan menghadapi Liga Super, Tommy berkata persiapan pasukan juga baik dengan pemain-pemain termasuk dirinya sudah membina keserasian antara satu sama lain.
“Setakat ini, persiapan pasukan nampak tiada masalah kerana semua tiga import sudah ada bersama pasukan dan untuk diri saya sendiri juga tiada masalah musim ini. Keserasian juga tidak menjadi masalah bagi kami kerana pemain senior seperti Mahali Jasuli dan Zaquan Adha banyak memberi tunjuk ajar kepada saya dan rakan-rakan lain.
Pengalaman mereka itu yang buat kami lebih bersemangat untuk meningkatkan prestasi diri masing-masing,” tambahnya.
Dia yang sedar dengan situasi penyokong Negeri Sembilan FC yang fanatik dan sentiasa dibelakang pasukan turut menyeru para penyokong untuk hadir beramai-ramai ke stadium pada musim ini sebagai tanda sokongan kepada pasukan.
Negeri Sembilan FC baru sahaja selesai menjalani dua perlawanan persahabatan pramusim di Lembah Klang dengan berjaya mengikat Kuala Lumpur City FC 1-1 sebelum tewas kepada Selangor FC 3-1