KOMITMEN Bank Islam terhadap bola sepak tanah air diteruskan lagi apabila mereka memperbaharui kerjasama strategik bersama Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk tempoh 2025 hingga 2027. Perjanjian ini bukan sekadar penajaan biasa, tetapi menjadi simbol usaha menyeluruh memperkukuh ekosistem bola sepak negara dari akar umbi hingga ke pentas antarabangsa.
Antara fokus utama kerjasama ini termasuk meneruskan inisiatif Kad Debit-i Team Harimau yang kini telah digunakan oleh lebih 2 juta rakyat Malaysia. Setiap transaksi kad ini menyumbang dana secara langsung kepada program pembangunan FAM, termasuk untuk bakat muda dan pembangunan teknikal.
Bank Islam turut menganjurkan pelbagai aktiviti pengaktifan bersama FAM, sama ada secara digital atau fizikal pada hari perlawanan, termasuk kandungan eksklusif di media sosial dan pertandingan buat peminat. Ia bukan sahaja mengukuhkan penjenamaan Harimau Malaya, malah merapatkan jurang antara penyokong dan pasukan kebangsaan.
Exco FAM, CP Dato’ Sri Mohd Yusri Hj. Hassan Basri menzahirkan penghargaan atas kerjasama lebih 12 tahun bersama Bank Islam, yang bukan sahaja menawarkan sokongan kewangan tetapi juga berkongsi aspirasi dalam membina struktur bola sepak yang mampan dan inklusif.
Dengan sokongan berterusan ini, FAM dan Bank Islam mengorak langkah memperkukuh semangat nasionalisme sukan, menjadikan “lambang di dada” bukan sekadar simbol, tetapi amanah untuk mengangkat nama Malaysia di pentas dunia.