PELANTIKAN bekas pelari pecut negara, Zaidatul Husna Zulkifli sebagai Pengurus Besar baharu Olahraga Malaysia (MA) menyaksikan satu fasa baharu yang memberi nafas segar dalam usaha memartabatkan sukan itu ke tahap lebih tinggi.
Zaidatul yang pernah menyarung jersi negara mengakui pengalaman sebagai atlet banyak membantunya memahami denyut nadi serta keperluan semasa atlet untuk mencari penyelesaian kepada sebarang isu yang timbul.
Katanya, kehadiran individu berjiwa atlet dalam pentadbiran bukan hanya sekadar simbolik, tetapi mampu menjadi jambatan kukuh antara pengurusan dan pelapis di lapangan.
“Saya faham tekanan yang dilalui atlet, jadi saya akan cuba dengar suara mereka dan bantu memastikan kebajikan dijaga, selain memantapkan bahagian pentadbiran serta strategi pengurusan,” katanya.

Walaupun mengakui gementar dengan tanggungjawab besar itu, namun keyakinan yang diberikan bekas Pengurus Besar, Nurhayati Karim, membakar semangatnya untuk terus melangkah dengan penuh iltizam.
Zaidatul antara lima tokoh termasuk Datuk Zaiton Othman, G Shanti, Roslinda Samsu dan Datuk Seri Harjeet Singh yang dilantik sebagai Ahli Majlis MA dalam usaha memperkukuh hala tuju serta struktur sukan olahraga negara.
Untuk rekod, Zaidatul Husna yang juga kakak kembar kepada pelari pecut negara, Zaidatul Husniah pernah mewarnai pentas antarabangsa sebelum bersara awal akibat kecederaan, dan kini bersedia menabur bakti dari sisi pentadbiran pula.