BARCELONA tersingkir dari Liga Juara-Juara UEFA dalam peringkat kumpulan dua musim berturut-turut selepas tewas 0-3 kepada Bayern Munich di Camp Nou.

Gergasi Catalan itu yang diambang penyingkiran ke Liga Europa sebelum sepak mula akhirnya tersingkir selepas satu lagi musuh tradisi, Inter Milan berjaya menewaskan Viktoria Plzen 4-0 sekaligus mengesahkan tempat kedua dalam Kumpulan C.

Ketua Jurulatih, Xavi berkata mereka tidak setaraf Bayern pada perlawanan ini dan mahukan pemainnya bangkit kerana musim masih panjang meskipun menganggap kempen mereka gagal di Liga Juara-Juara UEFA.

“Kami tidak berada pada tahap yang sama dengan Bayern hari ini kerana mereka sememangnya lebih baik. Mengetahui yang kami akan tersingkir sebelum perlawanan menggangu psikologi kami tetapi kini kami akan kembali berlatih dan memikirkan tentang liga.

“Harapan terhadap kami sangat tinggi tetapi kami diundi dalam kumpulan yang sukar. Banyak perkara terjadi dalam peringkat kumpulan dan ianya kejam buat kami tetapi kami sememangnya tidak bertanding dengan baik malam ini.

“Saya memberitahu para pemain supaya terus bersatu dan atasi segala rintangan yang hadir. Kami telah tersingkir dari kejohanan ini tetapi musim tidak berakhir pada Oktober dan ada banyak lagi pertandingan lain yang akan ditempuh.

Xavi, Ketua Jurulatih Barcelona

“Walaupun dibarisi ramai pemain muda, saya tetap rasakan kami gagal. Benar kami perlukan masa tetapi ianya tetap gagal kerana kami wajib melepasi peringkat kumpulan,” katanya.

Barcelona kini perlu menempuh cabaran di Liga Europa pada 2023 dan juga kejohanan domestik seperti Spanish Supercopa dan Copa del Rey. Dalam saingan LaLiga pula mereka kini tiga mata dibelakang Real Madrid selepas hanya tewas sekali dalam 11 perlawanan awal musim ini.