PEMAIN bola sepak terkaya dunia, Faiq Bolkiah, telah dimasukkan ke hospital selepas mengalami kecederaan serius semasa perlawanan Liga 1 Thailand antara Ratchaburi dan Police Tero.
Faiq, 25, anak saudara Sultan Brunei, digantikan pada separuh masa pertama perlawanan, yang berlangsung di Stadium Bunyachinda di Bangkok.
Hanya beberapa minit permainan, Faiq bertembung dengan pemain lawan.
Faiq segera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan. Presiden kelab Ratchaburi, Tanawat Nitikanchana, melawat Faiq bersama keluarganya sebagai tanda sokongan kepada pemain itu.
Tanawat memuatnaik gambar mereka dalam Instagramnya bersama doktor yang melawat Faiq.
“Hari ini hari menyedihkan. Putera @fjefrib tercedera ketika beraksi untuk kami @rbfcofficial_,” tulis Tanawat dalam kapsyennya. “Saya tahu anda tentu terkejut dan mengalami kesakitan.
“Tetapi anda perlu tahu kami akan sentiasa bersama anda sehingga anda kembali menyarung jersi naga dan menjaringkan gol.
“Walaupun anda di sini baru lapan bulan tetapi saya yakin setiap orang di kelab ini dan peminat menyayangi anda. Kami akan tunggu anda kembali bersama kami.”
Walaupun berstatus diraja, ia tidak menghalang Faiq daripada menjadi pemain bola sepak profesional. Semasa belajar di England, Faiq bermain untuk Southampton Academy selama setahun sebelum menandatangani kontrak remaja dua tahun dengan Chelsea dan kemudiannya Leicester City.
Selepas kontrak profesional tiga tahunnya dengan Leicester City berakhir pada Mac 2016, dia menandatangani perpindahan percuma ke Maritomo dari Liga Primeira Portugal.
Pada Disember 2021, Faiq menyertai pasukan Liga 1 Thai Chonburi sebelum mengumumkan pemergiannya menyertai Ratchaburi pada Jun tahun lalu.