HUJAN yang membasahi bumi Kelana Jaya sejak petang seakan-akan memberi petanda tidak baik buat Selangor FC apabila tewas kepada Muangthong United 1-2 dalam perlawanan kelima Kumpulan H, Liga Juara-Juara AFC 2.

Perlawanan sulung pengendali baharu, Katsuhito Kinoshi tidak dapat ditutup dengan nota gemilang apabila wakil Thailand itu bangkit pada babak kedua sekaligus menyekat hajat Gergasi Merah untuk layak lebih awal ke peringkat 16 terbaik.

Selangor bermula garang pada babak pertama dengan mempamerkan aksi agresif dan berjaya mendahului seawal minit kelima menerusi Quentin Cheng membuka akaun jaringannya di peringkat kelab Asia.

Lebih tujuh ribu penyokong yang hadir menjangkakan aksi yang lebih bertenaga daripada Selangor FC namun keadaan berubah menjadi perlahan ditambah keadaan padang yang licin.

Bersambung babak kedua, Selangor seharusnya menggandakan kelebihan namun Alvin Fortes gagal menyudahkan peluang terbaik apabila gerakannya dihentikan penjaga gol lawan.

Tiang gol juga dilihat menjadi penghalang Selangor apabila dua kali menafikan percubaan Alvin dan Ali Olwan sekaligus menghampakan barisan pemain dan peluang itu diambil oleh Muangthong United untuk menyerang.

Kegagalan mengeluarkan bola dari kawasan bahaya dihukum Felicio Forbes yang menolak bola ke gawang Selangor pada minit ke-63 sekaligus menjadikan permainan kembali terbuka.

Sekali lagi Muangthong United mengambil kesempatan menerusi situasi bola mati apabila menerusi satu sepakan sudut, Poramet Arjvilai menyambung hantaran itu untuk meletakkan wakil Thailand itu dihadapan pada minit ke-76.

Tersentak, Selangor menggandakan asakan namun tidak berjaya menemui sasaran meskipun pasukan lawan sudah berkampung di kawasan sendiri untuk bertahan.

Kedudukan 1-2 kekal hingga tamat perlawanan dan Selangor terlepas peluang untuk layak lebih awal dan kini terpajssa menunggu sehingga perlawanan terakhir kumpulan menentang Dynamic Herb Cebu pada 5 Disember.