DALAM langkah strategik untuk memperkasakan sukan olahraga negara, Olahraga Malaysia (MA) mengumumkan pelantikan beberapa bekas atlet kebangsaan ke dalam struktur jawatankuasanya.
Presiden MA, Datuk Karim Ibrahim berkata, inisiatif itu bertujuan membawa perspektif baharu dan kepakaran teknikal bagi memastikan pembangunan atlet berjalan lancar, terutamanya menjelang Sukan SEA Thailand hujung tahun ini.
Menurut Karim, penglibatan bekas atlet penting kerana mereka lebih memahami selok-belok dan keperluan sebenar seseorang atlet.
“Bekas atlet lebih tahu apa keperluan atlet. Mereka memahami rahsia kejayaan dan apabila mereka berbual dengan atlet semasa, ia akan memberi impak yang berbeza,” jelasnya dalam sidang media selepas mesyuarat Ahli Majlis MA yang berlangsung di Majlis Olimpik Malaysia (MOM), di sini, hari ini.

Pendekatan itu diharap dapat menangani salah faham lampau dan membuktikan komitmen MA dalam memajukan sukan olahraga secara menyeluruh.
Antara yang diberi kepercayaan ialah bekas ratu heptatlon negara, Datuk Zaiton Othman; bekas pelari pecut wanita negara, G Shanti; bekas jaguh lompat bergalah, Roslinda Samsu; serta bekas pelari pecut kebangsaan, Zaidatul Husna Zulkifli.
Turut disenaraikan ialah tokoh sukan berpengaruh, Datuk Seri Harjeet Singh, Mejar Jeneral (B) Datuk Patmanaban, dan Datuk Seri Salim Parlan, yang akan memegang peranan dalam pelbagai jawatankuasa lain.
Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Saidan Kassim, yang juga bekas Presiden MA, telah dilantik sebagai Presiden Kehormat Seumur Hidup (Honorable Life President) sebagai pengiktirafan atas sumbangannya.