KHAIRY Jamaluddin dipilih sebagai Naib Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bagi penggal 2023-2026, meskipun menerima undian paling rendah dalam kalangan pemilihan calon Naib Presiden, semalam.

Bekas Menteri Kesihatan yang juga Presiden Persatuan Lumba Basikal Negeri Sembilan (PLBNS) itu meraih 33 undi untuk menduduki tempat kelima daripada pertandingan 10 penjuru, Pemilihan Jawatankuasa Tertinggi PKBM yang berlangsung di Melaka.

Khairy menjelaskan, tiba masanya untuk beliau berkhidmat kepada sukan berbasikal dan membantu PKBM.

“Nasib baik saya menang pemilihan ini. Kalau tak maknanya saya kalah semua pertandingan,” katanya sambit tertawa. “Sekarang adalah masa untuk saya berkhidmat kepada sukan berbasikal dan PKBM,” katanya.

Pada pemilihan itu juga, Ahli Jawatankuasa Pengurusan Eksekutif Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI), Datuk Amarjit Singh melakar kejayaan besar meraih 71 daripada 72 undi, sekali gus melayakkannya menjadi Naib Presiden 1 pada pemilihan tersebut.

Amarjit mengaku sangat terkejut dengan pencapaian itu dan berterima kasih kepada semua perwakilan negeri yang mempercayai kebolehannya untuk terus memberi sumbangan kepada PKBM.

“Saya terharu dengan sokongan daripada perwakilan negeri. Ini menunjukkan perwakilan negeri percaya saya boleh memberi sumbangan positif kepada sukan berbasikal. Pada waktu yang sama, saya akan menjaga kepentingan UCI dan ACC (Konfederasi Berbasikal Asia) dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan PKBM pada Jumaat.

Amarjit menerima 71 daripada 72 undi untuk menjadi Naib Presiden 1 PKBM 2023-2026.

Pertandingan Timbalan Presiden PKBM pula menyaksikan kejutan terbesar apabila penyandang jawatan, Yunus Ibrahim dari Negeri Sembilan gagal mempertahankan jawatannya apabila hanya memperoleh 26 undi berbanding 45 yang diraih Mazlan Md Jail.

Keputusan tersebut dianggap sangat mengejutkan kerana ramalan awal membayangkan pertandingan sengit satu lawan satu bagi jawatan Timbalan Presiden.

“Saya sangat terkejut. Namun, saya percaya ini adalah satu keputusan daripada semua perwakilan negeri. Saya anggap ini hari bertuah kepada diri saya. Saya berjanji akan bekerjasama erat membantu Presiden PKBM (Datuk Abu Samah Abd Wahab),” katanya.

Sementara itu, Presiden PKBM, Abu Samah yang juga Naib Presiden Kehormat Konfederasi  Berbasikal Asia (ACC) dalam ucapan pembukaan mengharapkan semua pelumba khususnya jaguh trek, Datuk Mohd Azizulhasni Awang akan meneruskan kecemerlangan di Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.

Sebagai permulaan, beliau berharap Kejohanan Lumba Basikal Asia (Trek) 2023 (ACC 2023) yang akan diadakan di Velodrom Nasional di Bandar Baru Nilai, Negeri Sembilan akan menjadi medan terbaik untuk Mohd Azizul menyerlahkan kehebatannya sekali gus meraih lebih banyak mata kelayakan Sukan Olimpik 2024.