KALAU ada yang masih ragu dengan kehebatan sukan tradisi, semalam di Stadium Indera Mulia jawapannya cukup jelas – Liga Sepak Takraw (STL) terus membuktikan tarikannya. Lebih 20,000 penyokong membanjiri gelanggang hingga tiket habis dijual, sekali gus mencipta suasana luar biasa yang menggetarkan arena.
Sorakan gegak-gempita itu berpihak kepada Perak Bison, yang muncul juara GP Perak selepas menundukkan Kelantan Warriors 2-0 di hadapan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah. Trionya, S Kritsada, Aizat Nordin dan Aidil Aiman, bertarung penuh semangat selama 61 minit sebelum menutup kemenangan 15-11, 15-12 – cukup untuk memastikan piala kekal di bumi Perak.
Lebih manis, kejayaan itu diraikan bersama ribuan penyokong setia yang tidak henti-henti memberi sorakan dan semangat sepanjang perlawanan. Gelombang sokongan itu bukan sahaja menaikkan moral pemain, malah menghidupkan kembali aura sepak takraw sebagai sukan warisan yang dekat di hati rakyat.
Liputan konsisten yang diberikan oleh Astro Arena turut memainkan peranan besar dalam mengangkat kembali maruah dan jiwa sepak takraw. Platform itu menjadi jambatan penting yang menghubungkan gelanggang dengan jutaan peminat di seluruh negara, sama ada di stadium mahupun di depan kaca televisyen.
Dengan atmosferanya yang penuh warna-warni, STL kini bukan lagi sekadar liga – ia sudah menjadi pesta rakyat. Kehadiran penonton yang begitu ramai jelas membuktikan bahawa sepak takraw masih mempunyai tempat istimewa dalam jiwa masyarakat Malaysia.
Melihat keghairahan yang dipamerkan, STL berpotensi untuk terus berkembang bukan sahaja di pentas domestik, malah menuju ke peringkat antarabangsa. Namun, apa yang paling utama, denyut nadi liga ini datang daripada satu sumber yang tidak pernah jemu – penyokong setia yang sentiasa menjadi tulang belakang kepada kebangkitan takraw negara.
FOTO:VocketFC