BEKAS pemain badminton kebangsaan, Ooi Yuhang kini membuka lembaran baharu apabila melancarkan pusat rehabilitasi sukan miliknya sendiri, M Lab Physio di Bandar Sri Permaisuri, Cheras.
Pusat berkonsepkan pemulihan berasaskan sains sukan itu mula beroperasi secara rasmi hari ini, dengan matlamat membawa rawatan bertaraf elit kepada orang ramai.
Ooi yang pernah mewakili negara di Piala Uber, All England dan Kejohanan Dunia, mengetuai pusat tersebut, berbekalkan pengalaman sebagai bekas Ketua Perubatan Sukan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Beliau turut memiliki kelulusan Sarjana Sains Senaman Klinikal dari Victoria University dan Ijazah Sains Sukan dari Universiti Malaya.
Dengan slogan ‘Rebuild Your Confidence’, M Lab Physio bukan sahaja memfokuskan kepada pemulihan, malah membina semula keyakinan fizikal dan mental pesakit.
Antara kepakaran yang ditawarkan termasuk pemulihan kecederaan sukan, pemulihan ortopedik, penjagaan pasca pembedahan dan fisioterapi peribadi.