Select Page

Bekas penyerang kebangsaan hairan ada pemain enggan menyertai panggilan bersama skuad Harimau Malaya

Bekas penyerang kebangsaan hairan ada pemain enggan menyertai panggilan bersama skuad Harimau Malaya

BEKAS penyerang kebangsaan, Mohd Nizaruddin Yusof berasa hairan dengan sebahagian pemain yang enggan menyertai panggilan bersama skuad kebangsaan walaupun diberi kepercayaan jurulatih senior kebangsaan, Kim Pan-gon.

Nizaruddin turut merayu barisan pemain yang dipanggil agar hadir ke sesi latihan bagi memudahkan urusan jurulatih mengendalikan skuad yang semakin meningkat naik bawah kendalian DNA Korea itu.

Tambahnya, peluang tersebut tidak seharusnya dilepaskan mana-mana pemain memandangkan jurulatih telah melihat potensi dan kualiti yang ada terhadap barisan pemain yang dipanggil.

“Saya sebagai bekas pemain kebangsaan tidak faham mengapa mereka tidak mahu menonjolkan diri dan menerima panggilan jurulatih kerana ia adalah kemuncak kerjaya mereka sebagai pemain bola sepak Malaysia.

“Saya harap sebagai pemain yang masih bermain dan ada kualiti untuk mewakili skuad kebangsaan, datanglah, tolonglah jurulatih. Kuatkanlah pasukan kebangsaan.

“Jurulatih nampak anda berkualiti. Sebab itu kita dipanggil. Saya tidak faham mengapa mereka tidak mahu hadir melainkan jika terlibat dalam sebarang kecederaan,” katanya ketika dihubungi FLASH SUKAN.

Jelasnya, Kim Pan-gon sudah pasti menghadapi kesukaran dalam membuat percaturan sebenar kerana antara pemain yang dipanggil rata-ratanya memiliki kualiti yang baik di posisi masing-masing.

Lebih-lebih lagi dalam dua perlawanan persahabatan sebagai persiapan menghadapi Kejohanan Piala AFF Mitsubishi Electric Disember ini, dia meramalkan tugas sukar menanti skuad Kim Pan-gon.

“Bila jurulatih sesebuah pasukan itu , ingin memanggil pemain yang bermain di Liga Malaysia untuk mewakili skuad kebangsaan tetapi ramai tidak boleh datang, bagaimana hendak dibuatnya?

“Dia harus menggunakan sumber yang lain dengan memanggil pemain yang baik tetapi tahapnya bawah dari pemain yang hendak dipanggil.

“Banyak kerja yang perlu dibuat. Untuk dua perlawanan persahabatan¬† kali ini, memang Piala AFF kali ini ada kekurangan tetapi kita cuba sajalah mana yang ada,” jelasnya.

Dalam pada itu, dia turut menegaskan isu yang timbul ini sangat merugikan sukan bola sepak negara.

Secara tidak langsung, ia juga memberi imej buruk terhadap martabat dan semangat kenegaraan setiap pemain kerana perkara seumpama ini sangat jarang berlaku dalam arena bola sepak dunia.

“Rugi sangat , sebab kita sekali sahaja juara pada 2010. Kita mahukan skuad yang mantap sebab kita mahukan mata dari FIFA. Takkan tidak ada impian menjadi juara,” ujarnya.

Sebagai rekod, anak jati Sentul itu pernah menikmati pingat perak pada temasya Sukan SEA 2001 di Kuala Lumpur bawah pengendali kelahiran United Kingdom, Allan Harris.

Selain itu, dia pernah memenangi kasut emas sebagai penjaring terbanyak Liga Super 2009 dengan 18 gol berjaya dihasilkan.

Video Terkini

Loading...