SEBANYAK 10 pasukan telah mengesahkan kemaraan ke Pusingan 16 saingan Piala Dunia 2022 di bumi Qatar.

Juara bertahan, Perancis mara bergaya walaupun tunduk mengejut di tangan Tunisia aksi terakhir awal pagi tadi. Turut mengiringi Les Bleus adalah Brazil, Portugal, Belanda, Senegal, England,  Amerika Syarikat, Australia, Argentina dan Poland.

Tumpuan peminat menjurus ke arah gergasi Asia, Jepun untuk mencari laluan melepasi halangan Kumpulan E.

Jepun mengintai satu lagi aksi Piala Dunia untuk membunuh satu lagi pasukan liat Eropah, kali ini menentang Sepanyol.

Pemain Samurai Biru kini telah pulih daripada kekalahan pahit kepada Costa Rica dan sekarang fokus pada perlawanan peringkat kumpulan terakhir mereka.

ARTIKEL BERKAITAN : Kump C: Australia iringi Perancis ke pusingan 16 terbaik dalam penentuan dramatik

Ia adalah perlawanan yang penting bagi harapan mereka untuk mara ke pusingan 16 di Piala Dunia bagi mengikut jejak langkah Autralia yang membawa nama benua Asia.

Lawan mereka? Juara Piala Dunia 2010 dan juara Eropah tiga kali Sepanyol. Misi sukar tapi tiada yang mustahil dalam bola sepak.

Sementara itu, masih ada saingan sengit dalam Kumpulan F. Tiga pasukan sedang berebut tiket untuk layak ke pusingan 16.

Croatia, Maghribi dan Belgium masih mempunyai peluang untuk layak daripada fasa kumpulan. Mereka berebut dua tiket ke pusingan 16 terakhir Piala Dunia 2022.

Perlawanan antara Croatia bertemu Belgium dan Kanada menentang Maghribi yang akan menentukan keputusan selepas aksi malam ini.

Kemaskini Pasukan Mara ke Pusingan 16 Terbaik:

1. Perancis
2. Brazil
3. Portugal
4. Belanda
5. Senegal
6 England
7. Amerika Syarikat
8. Australia
9. Argentina
10. Poland