KEJOHANAN Badminton Terbuka Malaysia 2025 menjadi fokus buat beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun yang melakukan persiapan terbaik demi mencapai konsistensi dalam setiap perlawanan.
Pasangan ranking ke 14 dunia itu berkata, memulakan aksi pada kejohanan bertaraf Super 1000 di laman sendiri, pasti mampu menaikkan motivasi sekiranya meraih keputusan yang baik.
“Kami teruja kerana ini adalah pertandingan pertama di tanah air tahun ini. Walaupun undian kali ini nampak lebih baik, kami tetap perlu fokus kepada taktikal dan kelemahan lawan,” kata Wei Chong.
Mengulas mengenai undian, dia mengakui bahawa pasangan senegara seperti Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani menunjukkan peningkatan mendadak di pentas antarabangsa, menjadi penanda aras buat mereka.

Man Wei Chong-Tee Kai Wun kini berada di ranking ke-14 dunia.
“Kalau jumpa mereka di suku akhir, peluang ke separuh akhir tetap ada. Tapi kami tak mahu fikir terlalu jauh, sebaliknya pastikan setiap perlawanan, dari pusingan awal lagi, kami harus bermain dengan baik,“ katanya.
Mengenai usaha menaikkan ranking, Wei Chong mengakui bahawa mereka perlu mencipta kejutan ke atas pasangan dalam kelompok lima terbaik dunia.
“Kalau tak mampu melakukan kejutan ke atas pasangan pilihan, susah nak mara ke tahap seterusnya. Jadi, fokus kami adalah konsistens dan memberikan yang terbaik,” ujarnya.
Terbuka Malaysia akan menjadi platform penting untuk pasangan ini membuktikan kemampuan mereka, dengan harapan prestasi baik dapat membawa mereka ke peringkat separuh akhir atau lebih jauh lagi.
Mereka diundi bertemu pasangan Jepun, Kenya Mitsuhashi-Hiroki Okamura di pusingan pertama dan ia adalah aksi sulung antara kedua-dua pasangan.