Bergson Da Silva menganggap peluang menyarung jersi Harimau Malaya bukan sekadar memenuhi impian yang lama disimpan, sebaliknya satu tanggungjawab besar yang mahu dilaksanakan sebaik mungkin bersama pasukan kebangsaan.

Penyerang naturalisasi baharu itu berkata, harapan tinggi terhadap kemampuan penyudahnya tidak dilihat sebagai tekanan, malah menjadi pembakar semangat untuk membalas kepercayaan yang diberikan selepas lebih lima tahun beraksi dalam Liga Malaysia.

“Saya menganggapnya sebagai satu tanggungjawab yang besar dan baik, bukan sebagai tekanan. Berada di sini adalah satu lagi tanggungjawab besar buat saya dan saya akan memberikan segala-galanya untuk mewakili hasrat saya berada di sini,” katanya ketika ditemui pada hari pertama kem latihan Harimau Malaya.

Bergson, yang muncul penjaring terbanyak Liga Malaysia musim lalu, mengakui tidak pernah membayangkan perjalanan kariernya di negara ini akhirnya membawanya ke skuad kebangsaan, sekali gus menjadikan pemilihan itu detik istimewa buat dirinya dan keluarga.

“Tak pernah. Sebab itu saya katakan, berada di sini seperti satu impian buat saya, keluarga dan semua yang melalui detik ini bersama saya sepanjang lebih lima tahun. Berada di sini dan mewakili jersi serta negara ini adalah satu penghormatan kepada kami semua,” katanya.

Pemain kelahiran Brazil itu turut membuat persiapan awal dengan menonton beberapa perlawanan Harimau Malaya serta mendapatkan pandangan daripada rakan sepasukan yang pernah mewakili negara mengenai cabaran dan suasana berbeza apabila menyarung jersi kebangsaan.

Bergson kini mahu menikmati pengalaman pertamanya bersama Harimau Malaya sambil bekerja keras membantu pasukan mencapai sasaran, dengan Malaysia dijadual membuka kempen menentang Bangladesh pada 25 September sebelum berdepan Indonesia dan Singapura dalam usaha memburu slot ke final.