KETUA Jurulatih Kuala Lumpur City FC, Bojan Hodak tidak berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan anak-anak buahnya ketika menentang Perak FC namun baginya apa yang penting adalah mereka berjaya mengutip enam mata dalam masa lima hari.
Ini selepas KL City berjaya mencatat kemenangan kedua berturut-turut dalam Liga Super menewaskan Perak 1-0 dalam aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras.
Bojan juga mengakui terpaksa membawa keluar beberapa tonggak utama yang keletihan kerana kerap bermain selain mempunyai banyak pilihan di bangku simpanan musim ini berbanding musim lalu.

“Saya tidak berpuas hati dengan persembahan tetapi apa yang lebih penting adalah enam mata dalam lima hari. Seperti dijangka ianya perlawanan yang sukar kerana Perak dibarisi pemain muda yang sentiasa berlari. Mereka bekerja keras dan sukar untuk kami jaringkan gol.
“Ketika kami mula mendominasi pada babak kedua kami kehilangan seorang pemain pula dan selepas itu kami hanya bertahan dan menunggu untuk melakukan serangan balas dan akhirnya mendapat tiga mata.
“Saya membawa masuk lebih banyak pemain penyerang walaupun bermain 10 pemain atas sebab taktikal kerana Paulo dan Kipre keletihan pada babak kedua dan bawa masuk pemain yang pantas di sayap.

“Seingat saya, Perak tidak dapat menyerang dan kami lakukan tugas yang baik. Musim ini kami mempunyai lebih ramai pemain di bangku simpanan jadi kami mampu lakukan lebih banyak pertukaran,” katanya ketika sidang media selepas perlawanan.
Bojan turut berseloroh mengatakan dia sengaja membawa keluar Haqimi pada tambahan masa babak kedua hanya kerana ini membuang masa dan akhirnya tiga mata menjadi milik skuad Warga Kota.
KL City kini bakal mempersiapkan pasukan untuk menghadapi perlawanan Piala FA pada Sabtu sebelum bertemu Kedah dalam misi mengukuhkan lagi kedudukan dalam carta liga.