JAWATANKUASA Penganjur Sukan Sea Kemboja, mengumumkan semua venue pertandingan di temasya itu boleh diakses secara percuma.

Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Utusan Khas Jawatankuasa Kebangsaan (CAMSOC), Hor Sarun berkata, pihaknya mengalu-alukan rakyat dan juga pelancong dari negara Asia Tenggara untuk membanjiri semua venue sukan tanpa perlu membayar tiket untuk menonton setiap acara sukan.

Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Duta Khas Jawatankuasa Kebangsaan (CAMSOC), Hor Sarun mengumumkan Kemboja sudah bersedia menerima kehadiran atlet dan peminat sukan.

“Kami berbangga mengumumkan bahawa kami bersedia dan mengalu-alukan semua untuk datang ke Sukan Sea ke-32 dan Para Asean ke-12. Sudah 64 tahun Sukan Sea dianjurkan dan akhirnya kami menjadi tuan rumah.

“Saya ingin umumkan bahawa tiada tiket dijual dan kemasukan di setiap venue sukan adalah percuma,” katanya, selepas Larian Obor Temasya Sukan Sea ke-32, di Putrajaya.

Malaysia menjadi negara kelima jelajah obor Sukan Sea ke-32, selepas Vietnam, Filipina, Indonesia dan Timor Leste, dan obor akan dibawa ke Singapura selepas ini.

Hannah Yeoh turut menyertai larian obor Sukan Sea Kemboja di Putrajaya.

Sarun turut mengumumkan bahawa penganjur tidak memberi hak penyiaran ekslusif kepada mana-mana stesen televisyen dan tiada bayaran dikenakan kepada semua agensi yang membuat liputan di temasya itu.

“Fasiliti kita berada di tahap yang baik, begitu juga dengan penginapan serta hotel dan pengangkutan.

“Malah, kita juga mempunyai perkampungan sukan yang besar boleh memuatkan kira-kira 10,000 orang, lokasinya sangat dekat dengan stadium,” katanya.

Sementara itu, larian obor yang bermula di perkarangan Menara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) membabitkan 250 orang diketuai Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Hamidin Mohd Amin, Presiden Persatuan Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin, Ketua Kontinjen dan Timbalan, Datuk Mohd Nasir Ali, Datuk Shalin Zulkifli dan Sharon Wee, manakala Kemboja diwakili Sarun dan wakil kedutaan Kemboja, Ouk Chandara.