JARINGAN tunggal yang membawa Johor Darul Ta’zim ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia Elite 2025–2026 bukan sekadar gol biasa buat Marcos Guilherme, sebaliknya detik yang mengukuhkan tempatnya dalam hati penyokong Harimau Selatan.
Pemain kelahiran Brazil itu meluahkan rasa teruja selepas membantu JDT menewaskan Vissel Kobe 1-0, sekali gus memastikan kemaraan ke kelompok 16 terbaik Asia tanpa perlu bergantung kepada keputusan pasukan lain.
Bagi Guilherme, kemenangan itu lahir daripada semangat sepasukan dan disiplin tinggi yang dipamerkan sepanjang 90 minit aksi sengit di Stadium Sultan Ibrahim.
“Saya sangat gembira dengan gol dan kemenangan ini. Kami berjuang bersama-sama dan bekerja keras sepanjang perlawanan. Kami layak untuk kemenangan ini,” katanya.
Walaupun baru kira-kira sebulan setengah menyarung jersi JDT, Guilherme semakin serasi dengan corak permainan pasukan dan menganggap kelab itu sudah seperti rumah sendiri.
Beliau bertekad untuk terus meningkatkan prestasi melalui latihan konsisten sebagai tanda membalas kepercayaan jurulatih serta rakan sepasukan.
Dalam masa sama, beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap penyokong yang membanjiri stadium dan menjadi nadi kekuatan pasukan sepanjang perlawanan penting itu.
“Hari ini suasana stadium sangat baik. Penyokong memberikan sokongan luar biasa dan kami berjuang bersama mereka,” ujarnya.
Kejayaan mara ke pusingan 16 terbaik sekali lagi mengukuhkan reputasi JDT sebagai pencabar serius di pentas Asia, dengan cabaran seterusnya menyaksikan mereka dijadual bertemu wakil Jepun, Sanfrecce Hiroshima, dalam misi memburu kemaraan lebih jauh musim ini.