Kredit Gambar: MSN Malaysia
Jaguh powerlifting para negara, Bonnie Bunyau Gustin menerima dengan hati terbuka kegagalannya mempertahankan gelaran pada Sukan Komanwel Glasgow 2026, namun berjanji akan bangkit bagi menghadapi cabaran seterusnya di pentas antarabangsa.
Pemenang emas Birmingham 2022 itu menamatkan saingan acara lightweight lelaki dengan pingat gangsa selepas melakukan angkatan terbaik 220 kilogram (kg), sekali gus gagal mempertahankan kejuaraan yang dimenanginya empat tahun lalu.
Menurut Bonnie, percubaannya untuk melakukan angkatan 230kg pada cubaan terakhir tidak menjadi apabila pengadil memberikan arahan “rack” sebelum beliau sempat menyempurnakan angkatan tersebut.
“Saya memang merancang melakukan angkatan 230kg pada cubaan terakhir, tetapi ketika saya belum selesai meletakkan palang di rak, pengadil sudah memberikan arahan ‘rack’.
“Tidak mengapa, mungkin bukan rezeki saya di sini. Saya menerima keputusan itu kerana saya percaya masih ada rezeki lain,” katanya.
Juara dunia empat kali itu mengakui kecewa kerana gagal mengulangi kejayaan di Birmingham, malah turut memohon maaf kepada rakyat Malaysia yang mengharapkan beliau mempertahankan pingat emas.
Bagaimanapun, atlet kelahiran Sarawak berusia 27 tahun itu menegaskan keputusan di Glasgow tidak akan melemahkan semangatnya, sebaliknya menjadi pembakar semangat untuk kembali bekerja lebih keras.
“Saya akan berlatih dengan lebih keras bagi menghadapi Sukan Para Asia di Aichi-Nagoya. Selepas pulang nanti, saya akan kembali menjalani latihan dan fokus kepada sasaran saya,” katanya.
Pada saingan itu, Bonnie mengumpul 153.5 mata menerusi angkatan 220kg untuk meraih pingat gangsa, manakala atlet England, Mark Swan, muncul juara dengan angkatan 222kg dan 153.9 mata. Pingat perak pula menjadi milik wakil Nigeria, Roland Ezuruike yang turut mengumpul 153.9 mata menerusi angkatan 185kg, namun dipisahkan berdasarkan formula pemarkahan pertandingan.