SETIAUSAHA Kehormat Persekutuan Bina Badan Malaysia (PBBM), Leftenan Komander Kamaruzaman Kadir yakin Bonnie Bunyau Gustin mampu mengukir kilauan pingat buat negara dalam Sukan Komanwel 2022 di Birmingham nanti.

Tambahnya, prestasi Bonnie kini berada pada tahap terbaik, manakala dari segi ranking tidak mempunyai masalah untuk menewaskan lawan dari negara lain pada temasya berprestij itu.

“Bonnie akan bertanding dalam Sukan Komanwel dalam dalam Sukan Para powerlifting.

“Ada enam kategori dipertandingkan di Birmingham nanti, dia akan masuk kategori 72 kilogram ke bawah. InsyaAllah, ada harapan bawa pingat, dia top form sekarang. Ada ranking baharu dibenarkan bertanding,” jelas Kamaruzaman selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja bersama Majlis Sukan Negara (MSN) pada Jumaat.

Bonnie berada dalam prestasi kemuncak pada masa ini.

Terdahulu, suatu mesyuarat telah diadakan bagi mengemaskini untuk mengekalkan lapan nama atlet bina badan yang telah mendapat pingat dalam Sukan SEA Hanoi, untuk beraksi di Sukan SEA Kemboja tahun hadapan.

Bagaimanapun, senarai tersebut masih belum dimuktamadkan kerana tuan rumah belum memaklumkan senarai acara yang bakal dipertandingkan untuk senarai akhir.

“Nama yang telah dimasukkan adalah pemenang pingat hari itu, automatik disenaraikan tapi perbincangan lanjut itu akan dimaklumkan kemudian. Ia terpulang kepada peraturan di Kemboja untuk menawarkan apa-apa acara,” katanya.

Senarai akhir dilaporkan akan dimaklumkan pada pertengahan bulan lapan untuk memuktamadkan atlet yang akan beraksi mengikut kategori yang ditawarkan di Kemboja.