JURULATIH pasukan kebangsaan Arab Saudi, Herve Renard, menafikan pemainnya dianugerahkan sebuah kereta Rolls Royce daripada Putera Mahkotanya, Mohammed bin Salman Al Saud (MBS). Katanya, berita itu tidak benar.

Seperti yang diketahui, berita tersebut tersebar seiring dengan kejayaan Arab Saudi menewaskan Argentina 2-1. Momen ini mengejutkan peminat bola sepak dunia.

Ia kerana, The Falcons telah ketinggalan 0-1 kepada La Abiceleste. Bagaimanapun, mereka mampu mengubah keadaan selepas dua gol pada separuh masa dan tidak berubah sehingga wisel panjang dibunyikan.

Kemenangan itu lantas mengundang kegembiraan peminat. Tidak lama kemudian berita tersebar bahawa pemain pasukan kebangsaan Arab Saudi telah dijanjikan sebuah kereta mewah Rolls Royce oleh MBS.

ARTIKEL BERKAITAN : Kerajaan Arab Saudi umum cuti rai kemenangan ke atas Argentina

Tetapi kini Renard telah menolak isu itu. Menurutnya, pencapaian yang dicapai oleh pasukannya masih jauh kerana masih ada tugasan besar buat Arab Saudi di Piala Dunia 2022.

Terbaru, mereka tumbang 0-2 kepada Poland pada Sabtu. Kekalahan itu menyebabkan mereka menghuni di tempat ketiga.